Enam wakil rakyat Bersatu Terengganu setia bersama parti

Enam wakil rakyat Bersatu Terengganu setia bersama parti

RAZALI Idris (tengah) mengetuai tanda tangan surat arahan bertulis daripada Bersatu di Kuala Terengganu, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seramai lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan seorang Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) di Terengganu memberi jaminan akan tetap setia bersama parti dengan mendu­kung dasar, matlamat dan perjuangan Parti.

Kesemua ADUN dan Ahli Parlimen Bersatu tersebut membuat ketetapan tersebut selepas menandatangani surat arahan bertulis yang dikeluarkan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu di sini, semalam.

Majlis menandatangani surat yang dikeluarkan Jumaat lalu di­ketuai Ahli Majlis Pimpinan Ter­tinggi (MPT) Bersatu yang juga ADUN Kijal, Datuk Razali Idris.

Turut menandatangani ialah Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid.

Empat lagi ADUN Bersatu di Terengganu yang menandatangai surat itu ialah Khazan Che Mat (Seberang Takir), Mohd. Yusop Majid (Permaisuri), Husaimi Hussin (Hulu Besut) dan Mohd. Zawawi Ismail (Telemong).

Razali yang juga Ketua Pene­rangan Bersatu berkata, semua Ahli Parlimen, ADUN dan Ahli Dewan Negara diberi tempoh selama 14 hari untuk menandata­ngani surat arahan tersebut yang dihantar oleh Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Katanya, antara kandungan da­lam surat yang perlu ditandatangani semua Ahli Parlimen, Ahli Dewan Negara dan ADUN daripada Bersatu adalah setia kepada parti dengan mendukung dasar, matlamat dan tujuan parti.

“Setiap wakil rakyat parti juga perlu mengetahui bahawa kepimpinan Bersatu membuat ketetapan tidak menyokong atau menyertai kerajaan diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

“Bersatu juga membuat ketetapan tidak menyokong Menteri Besar dan Ketua Menteri, atau menyertai kerajaan negeri yang tidak dipersetujui Parti,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Badan Pimpinan negeri, di sini.

Razali yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri berkata, surat tersebut dikeluarkan dan perlu ditandatangani wakil rakyat parti selaras dengan perlembagaan bagi mengelakkan dihukum mengikut Akta Lompat Parti.

“Berdasarkan pindaan perlembagaan parti, mereka yang tidak setuju dan enggan menandatangai surat arahan bertulis itu akan terhenti keahlian Bersatu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×