Empat lagi Pembantu Penguasa Kastam berdepan 49 pertuduhan rasuah - Utusan Malaysia

Empat lagi Pembantu Penguasa Kastam berdepan 49 pertuduhan rasuah

Kastam rasuah
MOHD. Rizal Othman, Mohd. Hanafi Che Mat, Mohd. Shahril Sukaimi dan Alias Mat Yusof dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan suapan bernilai berjumlah RM39,800 di Kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Keseluruhan sebanyak 49 pertuduhan dihadapi empat Pembantu Penguasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Mahkamah Sesyen, hari ini atas dakwaan menerima suapan berjumlah RM39,800 antara Februari 2017 hingga April tahun lalu.

Tertuduh iaitu, Mohd. Rizal Othman berdepan sembilan pertuduhan, Mohd. Hanafi Che Mat (10), Mohd. Shahril Sukaimi (26) dan Alias Mat Yusof (empat), bagaimanapun masing-masing mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Datuk Anita Harun.

Berdasarkan pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa menerima suapan tersebut daripada pemilik sebuah syarikat sebagai dorongan untuk tidak melakukan sesuatu perbuatan berhubung hal ehwal prinsipal kamu iaitu tidak memeriksa lori-lori milik mereka yang membawa keluar barang-barang dari kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Mohd. Rizal, 43, didakwa menerima suapan RM15,350 secara berperingkat antara RM200 hingga RM2,300 daripada syarikat terbabit antara Februari 2017 hingga April tahun sama dekat sebuah cawangan bank di Bandar Baru Salak Tinggi Sepang.

Sementara, Mohd. Hanafi, 39, pula dituduh menerima suapan dalam 10 pertuduhan berjumlah RM12,600 secara berperingkat antara RM150 hingga RM3,600 sepanjang Jun 2020 hingga Januari tahun lalu dekat sebuah cawangan bank di Bandar Puchong Jaya, Puchong.

Mohd. Shahril, 39, pula berdepan jumlah pertuduhan paling banyak dengan nilai suapan keseluruhan sebanyak RM8,450 secara berperingkat RM200 hingga RM2,000 antara April 2018 hingga April 2023 dekat sebuah cawangan bank di Kajang.

Manakala, Alias, 48, didakwa menerima suapan berjumlah RM3,400 secara berperingkat antara RM500 hingga RM1,500 antara Jun 2019 hingga Julai 2022 dekat sebuah cawangan bank di KLIA2, Sepang.

Justeru, masing-masing merupakan bapa satu hingga empat orang anak itu dituduh di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang mana sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Asraf Mohamed Tahir, Nurul Atiqah Mohamad Alias dan Maziah Mohaidee yang mengendalikan prosiding tersebut mencadangkan ikat jamin kepada tertuduh masing-masing sebanyak RM30,000 (Mohd. Rizal); RM25,000 (Mohd. Hanafi) dan RM10,000 (Mohd. Shahril dan Alias).

Selain itu, kesemua tertuduh juga dicadang mematuhi syarat tambahan jaminan iaitu melapor diri di pejabat SPRM berdekatan, menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga perbicaraan tamat.

Bagaimanapun, peguam Ridha Abdah Subri yang mewakili Mohd. Rizal serta Muhammad Aizat Fakri yang mewakili Mohd Hanafi, Mohd. Shahril dan Alias memohon mahkamah membenarkan ikat jamin rendah dan tidak bersifat menghukum.

Hakim kemudian membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 kepada Mohd. Rizal dan Mohd. Hanafi, RM10,000 kepada Mohd. Shahril dan RM8,000 kepada Alias berserta perintah pematuhan syarat tambahan.

Mahkamah turut menetapkan tarikh sebutan semula kes bagi kesemua tertuduh pada 11 Julai depan.

Semalam, empat Pembantu Penguasa JKDM mengaku tidak bersalah di mahkamah sama atas keseluruhan 49 pertuduhan rasuah berjumlah RM39,750 berkaitan pemeriksaan lori barangan dari kargo KLIA.

Terdahulu, SPRM memaklumkan seramai 23 pegawai dan anggota kastam akan didakwa di enam mahkamah sesyen seluruh negara sehingga 6 Jun depan selepas ditahan menerusi Ops Samba 2.0.

Operasi bermula 11 Mac hingga 25 Mac lalu itu menumpukan siasatan ke atas mereka yang bertugas di kargo KLIA dan berjaya mengesan ketirisan hasil cukai berjumlah RM2 bilion. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN