ECRL siap 65 peratus sehingga April lalu - Utusan Malaysia

ECRL siap 65 peratus sehingga April lalu

ECRL
ANTHONY Loke Siew Fook menyaksikan pameran perkembangan pembinaan ECRL pada program Karnival Kerjaya ECRL dekat Bandar Utama Batang Kali di Hulu Selangor, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU SELANGOR: Perkembangan pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sejauh 665 kilometer (km) sehingga April lalu dilapor siap lebih 65 peratus di keseluruhan jajaran yang melibatkan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.

Malah, di Selangor, projek tersebut mencatat kemajuan lebih 26 peratus sehingga bulan lalu selaras dengan tarikh penyiapan jajaran ECRL dari Gombak ke Pelabuhan Klang pada Disember 2027 dan pengoperasian bermula Januari 2028.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, projek ECRL memasuki fasa baharu pembinaan semenjak tahun lalu, di mana kerja-kerja infrastruktur juga merangkumi pemasangan rasuk jejambat, pemasangan landasan, pembinaan stesen, dan pembinaan depot kereta api.

“Pada hari ini lebih 100 kilometer (km) sudah pun pun diletakkan. Saya difahamkan setiap hari lebih 1 km trek dapat disiapkan. Projek ECRL memang ada efisiensi kerja yang cekap dan tinggi. Setiap hari ada prestasi dan kemajuannya, ikut hari bukan bulan, jadi itu sebabnya projek itu berjalan amat lancar. 

“Untuk makluman, rangkaian ECRL di negeri Selangor yang hampir 120 km, telah menetapkan sebanyak lima buah stesen, iaitu stesen Terminal Bersepadu Gombak, Kapar dan Jalan Kastam bagi tujuan penumpang sahaja manakala stesen Bandar Serendah dan Puncak Alam merupakan stesen gabungan penumpang dan kargo,” katanya dalam ucapan perasmian Karnival Kerjaya ECRL.

Karnival tersebut merupakan sebahagian daripada Program Mesra ECRL yang mengadakan temuduga terbuka bagi Program Latihan Kemahiran Industri ECRL (PLKI-ECRL) yang menawarkan peluang latihan dan pekerjaan kepada anak tempatan yang berminat untuk berkhidmat dalam projek infrastruktur mega itu.

Sejak dimulakan pada 2017, seramai 1,300 pelatih menyertai program tersebut dalam fasa pembinaan ECRL.

Tambahnya, pengambilan tanah di jajaran Pantai Timur selesai sepenuhnya kecuali di Selangor yang menjadi fasa pembinaan terakhir, bagaimanapun pemaju diberi masa selama setahun lagi untuk menyelesaikan perkara tersebut.

Dalam pada itu, Anthony Loke memaklumkan Serendah di sini akan menjadi stesen utama menghubungkan laluan Pelabuhan Klang dan Pantai Timur susulan kawasan tersebut merupakan hab logistik.

“Jajaran ECRL yang melintasi Selangor dapat merancakkan sektor pelancongan, perhotelan dan perniagaan di Batang Kali, yang turut berpotensi dijadikan pusat pengangkutan kereta api bagi memacu industri berkenaan. 

“Hasrat itu boleh dicapai dengan pembinaan ‘Pintasan Serendah’ ke Pelabuhan Klang yang merangkumi trek tolok standard untuk ECRL dan trek tolok meter untuk KTMB, sekaligus memperkukuhkan daya saing pengangkutan rel kargo serta sektor logistik dan pengendalian kargo setempat,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×