JOHOR BAHRU: Dua anggota polis maut manakala seorang lagi cedera selepas mereka diserang seorang lelaki yang bertindak menceroboh masuk ke Balai Polis Ulu Tiram di sini, awal pagi ini.
Suspek berkenaan turut dilaporkan maut.
Sumber memberitahu, kejadian tersebut berlaku pada pukul 2 pagi.
Suspek iaitu seorang lelaki yang memakai topeng dan berpakaian gelap menyerang balai polis berkenaan dengan bersenjatakan parang.
Suspek bertindak menyerang beberapa anggota polis yang sedang bertugas, sebelum merampas dua laras senjata serta melepaskan beberapa das tembakan.
Tembakan itu mengena salah seorang anggota polis menyebabkannya cedera di bahu serta perut.
Mangsa yang ditembak dikenali sebagai Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said manakala yang ditetak pula adalah Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar.
Sementara itu, Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, suspek telah ditembak mati.
Menurut beliau, kesemua mangsa yang maut telah dihantar ke bahagian forensik Hospital Sultan Ismail (HSI) manakala anggota yang mengalami kecederaan turut dirawat di hospital berkenaan.
“Siasatan awal mendapati anggota ditetak dan ditembak. Siasatan lanjut dijalankan polis,” katanya ketika ditemui di Balai Polis Ulu Tiram, di sini hari ini. – UTUSAN