LUMUT: Dua lelaki maut manakala tiga cedera apabila kereta yang dinaiki terbabas dan melanggar tembok pembahagi jalan di Jalan Teluk Intan -Seri Manjung di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu, pekerja kedai runcit yang duduk di kerusi penumpang belakang, Eng Soon Hong, 24, dan Chen Ming Sen, 23, maut di lokasi kejadian.
Sementara, pemandu berusia 20 tahun dan dua lagi penumpang berusia 22 dan 25 tahun mengalami kecederaan di beberapa bahagian tubuh masing-masing.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, siasatan awal mendapati semua mangsa menaiki kereta jenis Toyota Vios dalam perjalanan dari arah Teluk Intan menghala ke Seri Manjung.
“Sebaik tiba di lokasi berhampiran pusingan U di pejabat Jabatan Kerjaraya (JKR) Kampung Kayan, kereta itu dipercayai hilang kawalan dan terbabas lalu merempuh tembok batu penghadang jalan,” katanya di sini.
Menurutnya, akibat daripada rempuhan itu, Soon Hong dan Ming Sen tercampak keluar dari kenderaan dan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Jelasnya lagi, tiga lagi mangsa termasuk pemandu kereta dihantar ke Hospital Seri Manjung (HSM) untuk mendapatkan rawatan.
Beliau memaklumkan bedah siasat dilakukan terhadap dua mangsa yang maut di HSM mendapati punca kematian akibat kecederaan otak disebabkan kemalangan jalan raya.
Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Muhammad Asyraf Henry Philip di talian 016-5572540. – UTUSAN









