PETALING JAYA: Polis sedang mengesan suspek yang memecahkan cermin kereta bekas ketua pasukan kebangsaan, Safiq Rahim, malam tadi.
Kejadian itu dilaporkan berlaku berdekatan Pusat Latihan Johor Darul Ta’zim di Jalan Sri Gelam, Johor.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan serta usaha mengesan suspek yang terbabit sedang dilakukan.
“Siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan. Kenyataan akan dikeluarkan selepas siasatan selesai,” katanya dalam kenyataan ringkas.
Safiq Rahim menerusi laman Instagram malam tadi memuat naik gambar cermin belakang keretanya yang pecah.
Menerusi laporan polis yang dimuat naik, beliau melaporkan, sebuah motosikal yang dinaiki dua individu secara tiba-tiba dan memecahkan cermin bahagian belakang keretanya menggunakan sebatang tukul.
Tindakan itu dilakukan seorang pembonceng berkenaan sebelum kedua-dua mereka berhenti dihadapan kenderaannya sambil menunjukkan tukul. – UTUSAN










