DSA 2024: Mindef, KDN bakal meterai MoU bernilai RM8.1 bilion

DSA 2024: Mindef, KDN bakal meterai MoU bernilai RM8.1 bilion

SAIFUDDIN Nasution (tiga dari kiri) dan Mohamed Khaled Nordin melihat aset pameran senjata pada Program Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA2024) dan Pameran Keselamatan Negara Asia (NATSEC2024) di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa (MITEC), Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perjanjian persefahaman (MoU) pertahanan dan keselamatan bernilai RM8.1 bilion dijangka dimeterai dalam tempoh empat hari Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2024 dan Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC Asia) 2024.

MoU tersebut dijangka dimeterai membabitkan Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan beberapa syarikat pertahanan dan keselamatan yang menyertai pameran tersebut.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled berkata, kementeriannya akan terlibat dengan urus niaga kontrak dan perjanjian bernilai RM6 bilion.

Beliau berkata, majlis menandatangani MoU itu dijadual Rabu ini dalam pameran antarabangsa yang diadakan dua tahun sekali tersebut.

“Kementerian sudah mengenal pasti beberapa kontrak dan perjanjian yang akan ditandatangani. Jumlahnya lebih kurang RM6 bilion,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Sementara itu, Menteri Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan bahawa sebanyak 14 kontrak dan MoU melibatkan KDN akan ditandatangani sepanjang pameran tersebut.

“Bagi KDN (nilainya) lebih kurang RM2.1 bilion membabitkan 14 (perjanjian dan kontrak) kesemuanya,” katanya.

Sebelum itu, Mohamed Khaled dan Saifuddin meluangkan masa mengadakan ‘walkabout’ bagi meninjau persiapan terakhir pameran tersebut yang akan berlangsung di Pusat Pameran Perdagangan Antarabangsa (MITEC) di Jalan Duta semalam.

Untuk rekod, dalam Pameran DSA dan NATSEC edisi ke-17 pada 2022, Kementerian Pertahanan menandatangani 54 kontrak dan MoU pertahanan bernilai RM4.6 billion.

Manakala KDN dalam pameran itu menandatangani satu MoU dan lapan kontrak keselamatan bernilai RM2.596 billion.

Sementara itu, penganjuran DSA dan NATSEC 2024 menyaksikan penyertaan pemain industri terbesar pernah dianjurkan negara apabila 1,324 syarikat di sektor pertahanan dan keselamatan mengesahkan menyertai pameran tersebut.

Pameran juga berjaya menarik tiga negara baharu untuk menyertai penganjuran DSA dan NATSEC 2024 iaitu Singapura, Iran dan Emiriah Arab Bersatu (UAE). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN