KECEMERLANGAN dan pengiktirafan filem tempatan dalam dan luar negara membuka pintu-pintu peluang yang lebih besar terutama dalam menarik pelabur meneroka industri perfileman lokal.
Keterbukaan tersebut sekali gus dapat membantu pemain industri filem tempatan terutama selepas Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) mengumumkan tidak lagi membiayai 100 peratus menerusi modul baharu Dana Kandungan Digital (DKD).
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Finas, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib memaklumkan, kejayaan beberapa filem menyakinkan pihak-pihak luar untuk bekerjasama dalam menghasilkan karya berkualiti dan berpotensi untuk pasaran luar negara.
“Kita lihat sendiri, filem-filem tempatan kala ini sangat mengagumkan dari segi kutipan dan juga pengiktirafan yang diterima dalam serta luar negara. Sebagai contoh terbaharu, pencapaian filem Sheriff.
“Itu membuktikan pelbagai pihak ada keyakinan untuk membuat pelaburan dalam industri perfileman tempatan. Sebagai perantara, kami sentiasa terbuka untuk syarikat yang mahu berkongsi visi dan komited untuk membangunkan industri perfileman.
“Apabila kami membuka peluang itu, ternyata pelbagai pihak mula menunjukkan minat dan memberanikan diri untuk bersama-sama menghasilkan filem-filem yang lebih berkualiti tinggi,” ujarnya.
Jelas Azmir, antara syarikat swasta yang menyatakan keyakinan adalah agensi insurans terkemuka di Malaysia, Norman Pang Group (NPG) dengan pelaburan berjumlah RM25 juta dalam industri seni kreatif.
Katanya, jumlah itu adalah sebahagian daripada Dana IPO Asia RM250 juta yang dilancarkan MCI Capital bagi membantu agensi insurans itu untuk memulakan proses pratawaran awam awal (pra-IPO) NPG di Bursa Saham Singapura (SGX).
“Pelaburan dilakukan NPG menunjukkan bahawa industri seni kreatif tempatan mempunyai potensi besar yang boleh menjana keuntungan. Pelaburan NPG adalah kali pertama membabitkan syarikat perkhidmatan insurans.
“Sebelum menyatakan Finas juga sudah semak profil mereka. Selain NPG, ada syarikat swasta lain yang turut menunjukkan minat membina jenama filem tempatan bersama Finas.
“Sekarang, kalau nak buat drama atau filem, kita hanya tumpu kepada yang berkaitan dengan industri seperti Media Prima Berhad, Astro, GSC dan sebagainya. Jadi dengan langkah ini, kami menyediakan ruang dan peluang,” kongsinya.
DINILAI PIHAK PELABUR
Dalam pada itu, Azmir berkata, Finas sentiasa membuka ruang kepada mana-mana penerbit yang berminat untuk mendapatkan dana. Kami akan membantu penerbit untuk berjumpa terus dengan pelabur berkenaan.
Memandangkan dana diberikan NPG mengikut kriteria tetapkan, Azmir menjelaskan, segala urusan pemilihan akan dibuat oleh badan penilai yang ditubuhkan syarikat pelabur yang berminat.
“Finas hanya bantu mencadangkan skrip terbaik dan berpotensi untuk dinilai oleh pihak pelabur. Seolahnya, kami buka jalan, tetapi segala urusan penilaian akan dibuat pasukan pelabur berkenaan.
“Saya percaya pasukan penilai dibangunkan pihak pelabur memahami selok-belok industri seni kreatif bagi mengelak berlaku perkara berbangkit.
“Kalau pembikin filem yang mohon dana mempunyai rekod bagus dan nama besar, rasanya tiada masalah untuk mendapatkan dana,” kongsinya.
Sementara itu, untuk memastikan penerbit maklumat lanjut berhubung maklumat mengenai pelabur dan prosedur permohonan,Finas akan mengadakan pertemuan dengan penggiat seni dalam masa terdekat.
“Insya-Allah, kami akan aturkan satu perjumpaan dengan penerbit filem dan drama untuk mengetahui bagaimana dana boleh dimanfaatkan.
“Kami juga akan memperkenalkan pelabur, penerangan mengenai pelaburan dan proses penilaian dijalankan,” katanya.