Daim, keluarga sekali lagi gagal dapat kebenaran cabar siasatan SPRM

Daim, keluarga sekali lagi gagal dapat kebenaran cabar siasatan SPRM

DAIM ZAINUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA:  Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin dan keluarganya gagal mendapatkan kebenaran Mahkamah Rayuan untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mereka. 

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Azizah Nawawi sebulat suara menolak rayuan Daim, isteri dan anak-anaknya untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang tidak memihak kepada mereka.

Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Hashim Hamzah dan Datuk Azizul Azmi Adnan berpuas hati, tindakan atau keputusan badan awam melaksanakan siasatan, tidak boleh dicabar melalui semakan kehakiman.

Memuatkan artikel berkaitan…

Panel itu berpendapat, jika rayuan itu dibenarkan, ia akan mendedahkan siasatan jenayah kepada semakan kehakiman yang tidak berkesudahan.

“Aduan yang dikemukakan oleh Daim boleh dibangkitkan ketika perbicaraan kes atau dengan mengemukakan permohonan untuk membatalkan pertuduhan.

“Jadi tidak boleh dikatakan bahawa sesatunya pilihan yang ada adalah melalui semakan kehakiman kerana keabsahan pertuduhan boleh dicabar dalam perbicaraan kes jenayah,” ujar Hakim Azizah ketika membacakan keputusan ringkasnya.

Panel itu juga tidak membuat sebarang perintah terhadap kos.

Pada 4 Mac lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Wan Ahmad Farid Wan Salleh memutuskan bahawa Daim dan keluarganya gagal membuktikan terdapat unsur mala fide (niat jahat) terhadap pegawai SPRM yang menjalankan siasatan.

Daim, 85, isterinya Toh Puan Nai’mah Abdul Khalid, 66, dan empat anak mereka – Asnida, 62, Md. Wira Dani, 45, Muhammed Amir Zainuddin, 28, dan Muhammed Amin Zainuddin, 25 serta Ilham Tower Sdn. Bhd. memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 10 Januari lalu.

Mereka menamakan SPRM dan Pendakwa Raya sebagai responden.

Menerusi permohonan itu, pemohon mendakwa pada 30 Disember 2023, SPRM telah mengeluarkan kenyataan bahawa satu siasatan terhadap Daim telah dibuka berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada Kertas Pandora.

Daim berkata, Kertas Pandora ialah fail sulit yang bocor pada 2021 yang mendedahkan nama-nama pemilik syarikat luar pesisir, aset serta akaun bank di luar bidang kuasa Malaysia dan kesemua fail tidak menunjukkan sebarang salah laku beliau dan keluarganya.

Oleh itu, mereka memohon antara lain perintah mahkamah supaya SPRM dan para pegawainya membatalkan semua siasatan yang dimulakan terhadap pemohon dari Februari 2023 sehingga kini serta membatalkan semua notis yang dikeluarkan oleh SPRM. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×