Cadang naik RM10 harga konsultasi klinik awam

Cadang naik RM10 harga konsultasi klinik awam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan dicadang menaikkan bayaran kon­sultasi di semua fasiliti kesihatan kerajaan dari RM1 kepada RM10 bagi menampung kekurangan doktor dan menambah baik khidmat di pusat-pusat kesihatan.

Selain itu, harga ubat-ubatan kepada pesakit juga disaran disemak semula agar setimpal dengan kenaikan harga semasa.

Bagaimanapun, jurucakap Hartal Doktor Kontrak, Dr. Muhammad Yassin berkata, bagi melaksanakan perkara itu, ke­rajaan perlu mencari satu mekanisme yang tidak membebankan pesakit yang memi­lih fasiliti kesihatan awam terutama B40.

“Dalam keadaan sekarang, kerajaan disaran meningkatkan bayaran klinik kerajaan agar klinik kerajaan selepas ini lebih efisien. Konsultansi yang sesuai dari RM1 mungkin kepada RM10 manakala harga ubat-ubatan harus dikaji semula berdasarkan harga ubat terkini,” kata beliau.

Menurut beliau, mekanisme tersebut perlu dikaji dan diwujudkan dan mungkin boleh meniru seperti mekanisme subsidi bersasar minyak diesel yang diumumkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim baru-baru ini.

“Hanya mereka yang betul-betul susah tidak perlu membayar lebih harga rawatan manakala yang lain harus membayar lebih,” katanya.

Semalam akhbar ini melaporkan, sektor kesihatan awam mencatat kedatangan 59,990,067 pesakit luar sepanjang tahun 2022 yang menjadi antara punca berlakunya kesesakan di sesetengah klinik atau hospital kerajaan.

Berdasarkan Petunjuk Kesihatan 2023, jumlah keseluruhan Kedatangan Pesakit Luar mengikut sektor dan negeri yang direkodkan sehingga 31 Disember 2022 adalah sebanyak 63,778,213.

Daripada jumlah itu, 57,461,758 pesakit luar direkodkan hadir ke pusat kesihatan awam di bawah Kementerian Kesihatan melibatkan hospital (17,749,587), institusi perubatan khas (570,603) dan fasiliti kesihatan awam (39,141,568) manakala 2,528,309 bukan di bawah kementerian itu.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), Datuk Dr. Kuljit Singh berkata, kos perubatan adalah tinggi dan berbeza apabila perkhidmatan swasta dibayar pesakit manakala di fasiliti kerajaan dibayar kerajaan

“Sektor swasta menghadapi banyak cabaran apabila terdapat cerita yang tidak benar mengenai kos rawatan kami tinggi.

“Bilangan pesakit yang datang ke sektor swasta lebih ramai dan kos rawatan tidak meningkat.

“Pesakit yang ingin mendapat rawatan di sektor awam hanya perlu membayar RM1 dan kos lain hanya ditanggung oleh kerajaan berbanding sektor swasta yang ditanggung secara persendirian serta tidak ada subsidi daripada kerajaan.” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN