Buruh warga Indonesia kudung kaki kiri mengaku salah tikam pengawal keselamatan - Utusan Malaysia

Buruh warga Indonesia kudung kaki kiri mengaku salah tikam pengawal keselamatan

ANGGOTA polis menolak kerusi roda digunakan I Gede Purna Wijaya di Mahkamah Majistret Kemaman, hari ini. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Seorang buruh warga Indonesia yang kudung kaki kiri, mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, hari ini, atas pertuduhan menikam seorang pengawal keselamatan, bulan lalu.

Tertuduh, I Gede Purna Wijaya, 23, yang terpaksa ditolak menggunakan kerusi roda ke mahkamah, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh pada pukul 12.30 tengah malam pada 20 April lalu dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Muhammad Akmal Danial Mohd Zaid, 22, dengan menikam pada bahagian pinggul sebelah kiri mangsa menggunakan sebelah pisau.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh di Ladang Mawar di Bandar Seri Bandi dekat sini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Mahkamah kemudiannya memerintahkan tertuduh dipenjara selama lapan bulan dengan denda sebanyak RM5,000.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Azhani Azman.

Terdahulu, media melaporkan seorang pengawal keselamatan cedera ditusuk dengan sebilah pisau dengan kedalaman hampir empat sentimeter.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan dilaporkan berkata, kejadian itu turut menyebabkan I Gede Purna putus kaki kiri selepas terjatuh dan digilis lori treller ketika cuba memanjat pagar lori yang sedang bergerak itu berhampiran Plaza Tol Kijal, ketika cubaan melarikan diri selepas menikam mangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN