BALIK PULAU : Buntu kerana tidak dapat mengangkat serta membawa jenazah seorang wanita obesiti ke tanah perkuburan, wakil penduduk Kampung Permatang Pasir di sini terpaksa meminta pertolongan daripada bomba untuk berbuat demikian.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Balik Pulau, Mohd. Ferdus Ishak berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 9.39 pagi tadi.
Katanya, sebaik sahaja tiba di lokasi, anggota bomba yang bertugas terus membantu mengangkat serta membawa jenazah wanita berusia 66 tahun yang seberat 250 kilogram (kg) itu.
“Jenazah berkenaan kemudian dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Titi Teras di sini untuk dikebumikan,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, bagi melancarkan urusan pengebumian, jenazah telah dibawa ke sana dengan menggunakan sebuah lori seberat tiga tan.
“Empat anggota termasuk seorang penyelia juga telah ditugaskan untuk mengangkat dan membawa jenazah berkenaan ke kubur,” ujarnya.-UTUSAN










