Bidang kejuruteraan ‘paling mudah’ dapat kerja?

Bidang kejuruteraan ‘paling mudah’ dapat kerja?

Bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik wajar menjadi pilihan lepasan sekolah kerana ia masih menawarkan peluang kerja yang banyak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bidang kejuruteraan sepatutnya menjadi pilihan utama bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana menawarkan prospek pekerjaan yang cerah dan permintaan tinggi pada masa hadapan.

Dengan pesatnya perkembangan industri elektronik di negara ini, terdapat permintaan tinggi untuk tenaga kerja mahir dalam bidang elektronik dan kejuruteraan, terutama dengan kemajuan dalam teknologi Kecerdasan Buatan (AI).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Naib Canselor Universiti Antarabangsa AlBukhary (AIU), Prof. Emeritus Datuk Dr. Abd. Aziz Tajuddin berkata, pertambahan kilang-kilang baharu dalam sektor elektronik telah mencipta banyak peluang pekerjaan, khususnya kejuruteraan, yang menyediakan kestabilan dan prospek kerjaya yang cemerlang kepada lepasan SPM.

“Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) juga memberikan laluan alternatif yang berpotensi tinggi bagi lepasan SPM, terutama dalam bidang seperti teknologi, elektronik, dan kejuruteraan teknikal, yang mempunyai kebolehpasaran graduan yang tinggi.

“TVET juga menekankan pentingnya kemahiran praktikal yang diperlukan oleh industri, yang seterusnya meningkatkan kebolehpasaran graduan. Terutama bagi pelajar yang suka cabaran dan pembelajaran berterusan, bidang kejuruteraan adalah pilihan yang ideal,” katanya.

Mengulas lanjut, Aziz berkata, bidang perhotelan juga tidak hanya menawarkan peluang pekerjaan yang cerah pada masa hadapan, tetapi juga memperlihatkan potensi perkembangan yang berterusan seiring dengan peningkatan dalam sektor pelancongan.

“Pelancongan adalah satu daripada industri yang paling pesat berkembang di dunia, dan pertambahan pelancong antarabangsa serta domestik memerlukan lebih banyak hotel dan penginapan, meningkatkan lagi permintaan terhadap pekerja dalam sektor perhotelan,” jelasnya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan Malaysia mengalami kekurangan sekitar 30,000 jurutera pada masa ini, menunjukkan kepentingan yang lebih besar untuk meningkatkan minat dalam bidang kejuruteraan di kalangan lepasan SPM.

Sementara itu, pensyarah Fakulti Pengurusan, Pendidikan dan Kemanusiaan, Kolej Universiti Antarabangsa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (UCMI), Prof. Dr. Bustam Kamri berkata, bidang kejuruteraan adalah bidang luas dan pelbagai, membolehkan pelajar memilih cabang yang paling sesuai dengan minat dan kecenderungan mereka.

Katanya, daripada kejuruteraan sivil yang berkaitan dengan pembinaan struktur hingga kejuruteraan perisian yang berkaitan dengan pembangunan aplikasi dan perisian, terdapat banyak pilihan yang boleh dipilih.

“Selain itu, bidang teknologi maklumat, data sains, kecerdasan buatan (AI), pembangunan perisian, sains komputer dan kejuruteraan sering kali menawarkan prospek kerjaya yang cerah.

“Apabila terdapat permintaan yang tinggi dalam bidang tertentu, pelajar akan mempunyai lebih banyak peluang pekerjaan serta berpotensi untuk mendapatkan gaji yang lebih lumayan setelah menamatkan pengajian,” katanya.

Tambahnya, pelajar perlu mengambil kira faktor-faktor ini supaya dapat membantu mengurangkan risiko pengangguran selepas tamat pengajian dan meningkatkan kebolehan pelajar untuk bersaing dalam pasaran kerja.

Dengan memahami keperluan pasaran kerja, lepasan SPM dapat membuat pilihan jurusan yang selaras dengan minat dan kebolehan mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×