SHAH ALAM: Pemasangan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di negeri ini perlu mengaplikasikan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi memudahkan siasatan polis termasuk mengesan nombor pendaftaran kereta dan wajah suspek dengan lebih berkesan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, ini bagi memastikan pemasangan CCTV itu bukan sekadar untuk pemantauan sebaliknya video yang direkod itu dapat memaparkan imej dengan resolusi tinggi.
“Ini agar kita boleh ‘zoom’ imej sehingga menampakkan nombor plat kenderaan, wajah seseorang dan sebagainya dengan lebih berkesan. CCTV sudah murah sekarang dan teknologi yang maju.
“Jadi, rugi kalau tidak gunakan spesifikasi yang terbaik. Sebab itu, kita cadangkan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) pasang CCTV yang memenuhi spesifikasi yang boleh digunakan sama dengan agensi lain,” katanya pada sidang akhbar selepas Townhall Discussion Polis Kontinjen Selangor 2024, hari ini.
Tambahnya, selain gambar yang jelas, teknologi AI pada CCTV boleh memudahkan akses secara integrasi yang boleh dimanfaatkan semua agensi terlibat.
“Kita tidak smart, sekiranya PBT pasang satu, polis pasang satu, JPJ pasang satu sedangkan tujuannya adalah sama. Jadi, kita boleh pasang satu, namun kemudahan akses boleh diguna pakai semua agensi dan menjimatkan duit kerajaan,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan Selangor akan mempunyai tiga buah Ibu Pejabat Daerah (IPD) baharu dalam meningkatkan keberkesanan dan profesionalisme pasukan tersebut.
Jelasnya, ia dimulakan dengan bangunan IPD Klang Utara bersama kuarters seluas 2.2 hektar yang dijangka siap dibina pada tahun depan.
“Kita juga telah diluluskan pembinaan IPD Ampang Jaya dan IPD Subang Jaya yang akan memulakan pembinaannya nanti.
“Namun, kita mengharapkan dua lagi IPD iaitu IPD Petaling Jaya dan IPD Kajang di mana-mana kawasan sekeliling pesat membangunkan tetapi IPD ini masih dalam kemudahan tahun 70an,” ujarnya. – UTUSAN










