Anwar, Shavkat sokong syor wujud Zon Perindustrian Uzbekistan-Malaysia

Anwar, Shavkat sokong syor wujud Zon Perindustrian Uzbekistan-Malaysia

ANWAR Ibrahim dan Shavkat Mirziyoyev semasa pertemuan mesyuarat dua hala delegasi Malaysia dengan wakil Kerajaan Uzbekistan mei lalu. - FB ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia dan Uzbekistan bersetuju dengan cadangan mewujudkan zon perindustrian Uzbekistan-Malaysia bagi memperkukuh hubungan perdagangan antara kedua-dua negara.

Perkembangan itu sejurus selepas kunjungan hormat dan mesyuarat dua hala antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Uzbekistan, Shavkat Mirziyoyev di Istana Presiden Kuksaroy yang terletak di Tashkent.

Selain itu, Uzbekistan menyuarakan hasrat bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi memastikan piawaian halal di negara itu mencapai ke tahap yang sama seperti dilaksanakan oleh agensi itu.

Dalam pada itu, Uzbekistan juga berhasrat bekerjasama dengan Institut Jantung Negara (IJN) bagi meningkatkan kualiti rawatan di negara itu serta menjalankan projek-projek bersama.

Anwar berkata, kedua-dua negara juga bersetuju mempermudah dan mempercepatkan prosedur pelaburan antara kedua-dua negara di samping mewujudkan zon perindustrian Uzbekistan-Malaysia.

Katanya, Malaysia dan Uzbekistan turut bersetuju mengangkat status Jawatankuasa Bersama untuk Perdagangan antara kedua-dua negara menjadi Suruhanjaya Bersama Antara Kerajaan.

“Saya dan Presiden Shavkat senada mahu memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Uzbekistan khususnya terkait perdagangan dan pelaburan, selain kerjasama dalam sektor pendidikan, tenaga, industri halal, pertanian, pengangkutan, teknologi digital, kesihatan, pelancongan, kebudayaan serta kewangan dan perbankan Islam.

“Uzbekistan antaranya menyatakan hasrat menjalin kerjasama dengan Petronas dalam sektor hidrogen hijau dan petrokimia, selain latihan tenaga manusia dalam sektor minyak dan gas,” katanya dalam satu hantaran Facebook beliau, hari ini.

Terdahulu, Anwar mengetuai delegasi Malaysia ketika mengadakan kunjungan hormat dan mesyuarat dua hala dengan wakil Kerajaan Uzbekistan yang diketuai Shavkat.

Menurut Anwar, dalam mesyuarat selama lebih satu jam, Shavkat antara lain menyatakan penghargaan terhadap ketegasan Malaysia memperjuangkan keadilan buat rakyat Palestin.

“Malaysia dan Uzbekistan berkongsi pendirian mahu melihat kewujudan sebuah negara Palestin yang bebas dan merdeka,” katanya.

Selain itu, Anwar menzahirkan penghargaan terhadap budaya dan ketamadunan Uzbekistan yang telah melahirkan ramai cendekiawan ulung seperti Imam Bukhari, Imam Tarmizi, Al Biruni, Naqshbandi, Ibnu Sina dan Ibnu Khwarizmi yang memberi sumbangan penting dalam dunia Islam.

Perdana Menteri turut menjemput Shavkat untuk datang ke Malaysia, khususnya bagi menyertai Forum Global Ekonomi dan Kewangan Islam di Kuala Lumpur pada 28 Mei ini.

“Saya amat menghargai perbincangan ini yang telah berlangsung dalam suasana persahabatan dan ia ternyata telah memperkukuh hubungan erat kedua-dua negara. Kami berdua kemudian menandatangani kenyataan bersama yang menyentuh persetujuan dan komitmen yang dicapai dalam pertemuan ini,” katanya.

Anwar ketika ini dalam rangka kerja lawatan rasmi ke Asia Tengah bermula Rabu lalu dan sebelum ini telah mengadakan lawatan kerja ke Kyrgyzstan dan Kazakhstan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×