Anwar pertahan pertemuan dengan Hamas

Anwar pertahan pertemuan dengan Hamas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan tindakannya bertemu dengan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh di Qatar pada minggu lalu bagi meminta supaya pergerakan itu mematuhi seruan gencatan senjata.

Anwar berkata, beliau dan Ismail sudah bersahabat sejak berdekad lalu dan ia memberikan kelebihan kepadanya untuk bertindak selaku broker keamanan di Timur Tengah.

“Adakah ia (pertemuan dengan Ismail) salah? Adakah saya mempromosikan keganasan?

“Tidak. Saya merayu kerana mempunyai kelebihan. Apa kelebihannya? Saya mengenali mereka, dan mereka menganggap saya sebagai sahabat.

“Sebagai sahabat, tugas saya adalah menyampaikan apa yang terbaik,” katanya ketika sesi soal jawab pada Persidangan Antarabangsa Mengenai Masa Depan ke-29 (Persidangan Nikkei) di Tokyo, Jepun, hari ini.

Terdahulu, Anwar ketika lawatan rasminya ke Qatar minggu lalu, meluangkan masa untuk bertemu Ismail Haniyeh yang merupakan Ketua Biro Politik Hamas.

Melalui makluman di Facebook miliknya, Perdana Menteri berkata, Malaysia komited memainkan peranan di peringkat antarabangsa bagi menghentikan serangan ke atas Rafah.

Beliau berkata, Malaysia juga akan terus menggerakkan ikhtiar yang lebih tangkas bagi membantu mangsa peperangan di Gaza khususnya dalam aspek bantuan kemanusiaan, perubatan dan pendidikan.

Anwar berkata, Malaysia turut mendesak Israel menghentikan kezaliman ke atas rakyat Palestin, membebaskan semua tahanan rakyat Palestin dan bersetuju dengan pelan perdamaian.

“Malaysia hargai kesediaan Hamas membebaskan tahanan khususnya kanak-kanak dan wanita serta menerima pelan damai dunia Arab, OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam), dan masyarakat antarabangsa,” katanya.

Mengulas mengenai situasi perang di Gaza, Anwar berkata, konflik tersebut perlu dilihat sebagai krisis kemanusiaan yang belum pernah berlaku sebelum ini.

“Tidak kira perbezaan dari segi ideologi atau hubungan dua hala dengan negara lain…tetapi bolehkah kita merelakan dan menutup mata terhadap kekejaman besar-besaran itu,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN