Ambil alih Kerajaan Perlis oleh Bersatu perlu dibincang - Mohamed Azmin - Utusan Malaysia

Ambil alih Kerajaan Perlis oleh Bersatu perlu dibincang – Mohamed Azmin

Bersatu Perlis
MOHAMED Azmin Ali bermesra dengan penyokong PN ketika menghadiri Ceramah Umum PN dekat Taman Ampang Pecah, Kuala Kubu Bharu di Hulu Selangor, Selangor, malam tadi. - UTUSAN / SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU SELANGOR: Pimpinan Bersatu tidak membincangkan sebarang cadangan sama ada di peringkat komponen atau Perikatan Nasional (PN) untuk parti itu mengambil alih Kerajaan Negeri Perlis.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kenyataan dibuat oleh Ketua Badan Pimpinan Bersatu Perlis, Abu Bakar Hamzah adalah bersifat peribadi.

Menurutnya, sebarang keputusan perlu dibuat secara bersama melalui perbincangan dalam kepemimpinan parti.

“Jadi saya tidak mahu komen pandangan individu kerana prinsip yang kita pegang ia mestilah dibawa dalam Perikatan Nasional di peringkat negeri. 

“Memang tidak ada dibincangkan, tak ada sebab, (malah) tak timbul soal perubahan kerajaan negeri di Perlis,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Ceramah Umum PN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu, malam tadi.

Terdahulu, Abu Bakar dilaporkan berkata, Bersatu Perlis sedia menggalas tanggungjawab memimpin negeri itu, sekiranya diminta berbuat demikian berikutan krisis integriti yang melanda baru-baru ini.

Bagaimanapun, Abu Bakar memaklumkan, sebarang keputusan berhubung kedudukan Menteri Besar Perlis adalah di bawah kebijaksanaan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan keputusan pimpinan tertinggi PN Pusat.

Sehubungan itu, Mohamed Azmin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang menjelaskan, kekuatan PN adalah semua perkara harus melalui perbincangan dan dimuafakati atas kebersamaan semua pihak.

“Sebab dalam Perikatan Nasional tak ada amalan Big Brother (abang besar), semua parti adalah sama dan (mempunyai) hak untuk berbincang.

“Termasuk sebagai contoh calon di Kuala Kubu Bharu, betul, di sini pernah ditandingi calon PN daripada Gerakan, tetapi berdasarkan sentimen, kajian selidik dan tinjauan di lapangan, semua parti bersetuju bahawa saudara Khairul Azhari Saut adalah calon terbaik,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN