BESUT: Lebih 81 buruh warga asing hilang tempat berlindung selepas 25 buah rumah kongsi didiami musnah dalam kebakaran di Pulau Perhentian, dekat sini semalam.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Muhammad Basri Kamarazaman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.09 pagi dan enam anggota bersama pegawai telah digerakkan ke lokasi.
“Pihak bomba terpaksa menggunakan bot aluminium untuk ke lokasi kejadian kebakaran di Pulau Perhentian yang terletak pada jarak kira-kira 30 kilometer dari darat.
“Ketika tiba di lokasi kejadian kita mendapati api tersebut telah merebak sehingga menyebabkan 25 daripada 33 buah kongsi telah terbakar,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Bagaimanapun tindakan pantas anggota dan pegawai bomba telah berjaya mengelakkan lapan buah lagi baki rumah kongsi berdekatan turut terbakar.
Muhammad Basri memberitahu, pihaknya mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengawal dan memadamkan kebakaran itu.
Jelasnya, operasi memadam kebakaran itu turut dibantu oleh pasukan Tindakan Kecemasan (ERT).
Tambahnya, kebakaran itu tidak melibatkan kecederaan dan kehilangan nyawa.
“Bomba juga masih menyiasat punca dan nilai kerugian dalam kebakaran tersebut,” ujarnya. – UTUSAN










