KUALA LANGAT: Kira-kira 700 jemaah dekat Masjid Al-Islah Kampung Sawah Banting di sini menunaikan solat Jumaat bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.
Beliau tiba sebelum solat Jumaat kira-kira pada pukul 1.10 tengah hari mengenakan baju Melayu hijau muda dan ketibaannya disambut pengurusan masjid serta penduduk tempatan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan mendengar khutbah bertajuk ‘Murabbi Insani Generasi Luhur Budi’ sempena sambutan Hari Guru yang disampaikan Imam, Mat Sakeh Pawiro sebelum menunaikan solat Jumaat bersama jemaah yang lain.
Usai solat, beliau sempat meluangkan masa menyantuni jemaah masjid dengan bersalaman serta bergambar bersama mereka yang hadir sebelum makan tengahari di dewan bersebelahan masjid tersebut.
Perdana Menteri kemudian meninggalkan lokasi pada pukul 2.35 petang dan difahamkan menuju ke arah Pulau Carey untuk program seterusnya. – UTUSAN










