6,855 kertas siasatan jenayah komersial bersindiket, babit kerugian lebih RM378 juta

6,855 kertas siasatan jenayah komersial bersindiket, babit kerugian lebih RM378 juta

RAMLI MOHAMED YOOSUF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 6,855 kertas siasatan melibatkan kes jenayah komersial bersindiket telah dibuka Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) sepanjang tempoh 1 Januari hingga 30 April lalu membabitkan nilai kerugian lebih RM378 juta.

Berdasarkan rekod, sepanjang 1 Januari hingga 30 April lalu, sejumlah 10,179 kertas siasatan dibuka dan 67.3% (6,855 kes) adalah membabitkan kes jenayah bersindiket.

Pengarah JSJK, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pecahan kes jenayah bersindiket ini adalah belian ‘online’ membabitkan 2,254 kes dengan nilai kerugian RM20,336,421.11, penipuan pelaburan sebanyak 1,767 kes (RM231,470,364.09) dan pinjaman tidak wujud dengan 1,158 kes (RM12,505,307.06).

Kata beliau, sebanyak 679 kes melibatkan phone scam dengan kerugian RM33,838,418.43 dan ah long membabitkan 264 kes dengan nilai kerugian RM1,036,053.

“Selain itu, kes lain dilaporkan adalah love scam dengan 233 kes (RM7,456,549.42), penipuan tanah dengan 65 kes (RM56,796,701.10), penipuan BEC (Business Email Compromises) sebanyak 23 kes (RM13,566,115.67), wang palsu dengan 321 kes (RM85,206) dan penipuan SMS membabitkan 65 kes dengan nilai kerugian RM851,618.91

“Modus operandi lain membabitkan penipuan kad kredit sebanyak 13 kes dengan nilai kerugian RM105,226.57, VCD/DVD haram empat kes, penipuan bomoh tiga kes (RM85,750), penipuan toto dengan tiga kes (RM167,550), penyamaran bersemuka membabitkan dua kes (RM1,310) dan gores dan menang hanya satu kes dengan nilai kerugian RM20,000,” katanya.

Beliau berkata, memasuki minggu ke-19 tahun 2024 iaitu sehingga 12 Mei 2024, sejumlah 11,696 kes jenayah komersial direkodkan bersamaan dengan purata 88 kes sehari.

“Jumlah kes ini bagaimanapun mencatatkan penurunan satu peratus berbanding tempoh sama tahun lalu yang mencatatkan jumlah kes sebanyak 11,834 kes.

“Dari aspek pertuduhan, sejumlah 5,550 kertas siasatan berjaya dituduh di Mahkamah sepanjang tempoh 1 Januari hingga 12 Mei lalu.

“Jumlah ini adalah bersamaan 47 peratus dari jumlah kertas siasatan yang dibuka pada tahun 2024,” jelasnya.

Kata beliau, peratusan pertuduhan ini juga lebih baik berbanding tempoh sama tahun 2023 yang mencatatkan sejumlah 5,367 pertuduhan atau bersamaan 45 peratus. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×