32 belia TVET jalani latihan EV di China

32 belia TVET jalani latihan EV di China

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 32 belia berkemahiran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET)  terpilih menjalani latihan peningkatan kemahiran Kenderaan Elektrik (EV) di Beijing, China.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (Belia Mahir), Mohammad Rizan Hassan berkata, pasaran dan industri EV di Malaysia bakal berkembang dengan pesat dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun akan datang.

Katanya, kesemua belia terlibat dihantar di bawah inisiatif Malaysia-China Advanced TVET Mobility Program Automotive Engineering.

“Belia terpilih adalah pelajar bidang kejuruteraan automotif dari Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Gemilang Motor Academy (GMA).

“Mereka akan menjalani latihan selama dua minggu sehingga 5 Jun hadapan bertempat di Pusat Penyelidik dan Pembangunan (R&D), Beifang Auto di Beijing,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Mohammad berkata, penghantaran bakat kemahiran TVET tempatan ke China amat relevan memandangkan ketika ini Malaysia berada di landasan yang betul untuk menjadi kuasa kenderaan elektrik (EV) terhebat Asia Tenggara.

Katanya, kerajaan secara agresif menggalakkan ekosistem EV yang kondusif disokong oleh bukti komitmen perniagaan yang kukuh.

“Kita juga akan menyaksikan industri menerima guna kemahiran dan infrastruktur baharu yang sesuai untuk pelbagai peringkat elektrifikasi daripada hibrid sederhana kepada kenderaan elektrik sepenuhnya.

“Selain itu, kemahiran tambahan dan baharu akan diberikan di luar kemahiran sedia ada yang dimiliki tenaga kerja automotif di samping membuka peluang baharu untuk inovasi, penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan pembuatan komponen bernilai tinggi,” katanya.

Tambahnya, latihan bersifat mobiliti antarabangsa bakat TVET tempatan ke China akan membantu mengisi keperluan tenaga kerja berkemahiran yang diperlukan bagi memenuhi keperluan industri pembuatan dan perkhidmatan bidang berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN