PETALING JAYA: Sekumpulan 28 penunggang motosikal yang `seronok’ melakukan aksi berbahaya dicekup polis dalam serbuan di Jalan Ampang dan Tasek Permai di Ampang dekat sini semalam.
Dua laluan tersebut didakwa menjadi ‘port’ untuk kumpulan tersebut menguji ekzos dan motosikal masing-masing.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, operasi samseng jalanan dijalankan oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ampang Jaya.
Menurut beliau, bersama 28 yang ditahan, polis juga merampas 24 buah motosikal dalam operasi di Jalan Ampang dan Tasek Permai.
“Sebanyak 50 saman turut dikeluarkan kepada penunggang motosikal lain selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan seperti tiada lesen memandu, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, ubah suai ekzos dan juga lain-lain kesalahan di Bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Kita turut menyita lima buah motosikal di bawah Seksyen 64(1) Seksyen 6(4) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana kesalahan mengubah suai ekzos, tiada lesen memandu yang sah dan beberapa kesalahan lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, operasi itu dijalankan selepas pihaknya menerima aduan masyarakat mengenai gangguan ketenteraman ekoran bunyi bising ekzos motosikal kumpulan penunggang disusuli risikan yang dijalankan oleh pihak polis.
“Operasi pemeriksaan dan penahanan secara rambang itu dijalankan dengan memfokuskan kepada kenderaan yang melakukan pengubahsuaian yang keterlaluan sehingga melanggar undang-undang yang diperuntukkan pihak berkuasa.
“Operasi kami turut memberi tumpuan terhadap tindakan kepada penunggang yang melakukan aksi-aksi yang berbahaya di atas jalan raya yang boleh mengundang risiko bahaya ke atas nyawa pengguna lain,” katanya.
Tambah beliau, kesemua motosikal yang disita itu dibawa ke Balai Polis Trafik Ampang untuk tindakan lanjut berlandaskan undang-undang. – UTUSAN










