20 rumah rosak akibat ribut di Bagan Serai - Utusan Malaysia

20 rumah rosak akibat ribut di Bagan Serai

ROSNAH Salleh menunjukkan bumbung rumahnya yang terbangkan angin dalam kejadian ribut tengah malam semalam di Kampung Parit Haji Tahir di Bagan Serai. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Sebanyak 20 buah rumah penduduk di tiga buah kampung di daerah ini mengalami kerosakan dengan sebahagian besar daripadanya bumbung diterbangkan angin dalam kejadian ribut tengah malam semalam.

Mangsa melibatkan penduduk di Kampung Parit Haji Tahir, Kampung Parit Gabis dan Kampung Teluk Medan.

Seorang penduduk mangsa ribut di Kampung Parit Haji Tahir, Rosnah Salleh, 87, berkata, kejadian berlaku ketika dia sedang tidur di bahagian bawah rumahnya.

Menurutnya, dia terjaga daripada tidur selepas terkena air hujan dari bahagian atas rumahnya.

“Saya segera naik ke bahagian atas rumah dan mendapati bumbung rumah sudah diterbangkan angin.

“Ini merupakan kali pertama bumbung rumah saya diterbangkan ribut sejak puluhan tahun menetap di sini,” katanya.

Seorang lagi mangsa ribut, Sulaiman Mat Hassan, 71, berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 12.30 malam semalam ketika dia tersedar daripada tidur apabila mendengar deruan angin yang kuat dari bahagian belakang rumahnya.

“Tidak lama kemudian saya terdengar bumbung di bahagian atas rumah seperti berdentum. Saya naik ke bahagian atas rumah dan mendapati sebahagian bumbung sudah diterbangkan angin,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Agensi Bencana Daerah Kerian, Mohd Sabli Bakri berkata, setakat ini pihaknya dimaklumkan kejadian ribut melibatkan mangsa  di tiga buah kampung iaitu 10 buah rumah di Kampung Parit Haji Tahir, dua rumah dan sebuah surau di Kampung Parit Gabis dan Kampung Teluk Medan.

“Setakat ini saya hanya menerima laporan berkenaan kejadian ribut melibatkan tiga buah kampung.

“Saya telah meminta Penghulu Mukim untuk menguruskan segera bantuan awal Tabung Bencana Daerah kepada mangsa yang terlibat,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN