20 naib canselor universiti awam sokong objektif UITM

20 naib canselor universiti awam sokong objektif UITM

UNIVERSITI TEKNOLOGI MARA (UiTM)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jawatankuasa Naib Canselor/Rektor Universiti Awam (JKNCR UA) menyokong pendirian Universiti Teknologi Mara (UiTM) untuk kekal berpegang kepada Akta UiTM 1976 (Akta 173) dan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Pengerusi JKNCR UA, Prof. Datuk Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata, pihaknya yang terdiri 20 naib canselor dan rektor UA menyifatkan segelintir pihak yang sengaja membangkitkan isu kemasukan pelajar bukan bumiputera ke UiTM dengan melabelnya sebagai ‘akademi aparteid’, menampakkan kejahilan terhadap Perlembagaan Persekutuan dan kedudukan serta hak bumiputera.

“Dakwaan ini turut mencerminkan kedangkalan serta sifat berat sebelah penulis yang secara tidak langsung, hanya merujuk istilah bumiputera kepada kaum Melayu semata-mata sedangkan golongan bumiputera di negara ini meliputi seluruh masyarakat pribumi Malaysia termasuk orang Melayu dan semua anak negeri mana-mana antara Sabah dan Sarawak.

“JKNCR UA menyokong kenyataan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir yang menyeru semua pihak agar tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan bersifat perkauman yang boleh mengucar-ngacirkan polisi serta objektif asal penubuhan UiTM.

“Sebaliknya, kita harus bersatu hati dan berpadu tenaga dalam usaha mengekalkan kelestarian dan kesejahteraan negara tercinta,” katanya dalam kenyataan semalam.

Sebelum ini, seorang kolumnis didakwa menerbitkan tulisan dan menuduh UiTM sebagai ‘Akademi Apartheid’ sehingga menerima kritikal pelbagai pihak termasuk Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh.

Dalam pada itu, Mohd. Ekhwan menyeru para penulis agar lebih beradab dan berhemah dalam menyampaikan berita demi keamanan bersama.

“Kita boleh menerima teguran serta pandangan yang membina, tetapi biarlah berdasarkan fakta. Kebebasan bersuara tidak seharusnya disalah guna sehingga mengabaikan adab dan adat selama ini kita pertahankan.

“Ilmu yang dikongsi seharusnya membawa manfaat dan bukan mengganggu-gugat keharmonian masyarakat dan negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN