SHAH ALAM: Sebanyak 1,200 pokok besar yang dianggap tua oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dikenal pasti untuk dipulihara atau ditebang bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Datuk Bandarnya, Cheremi Tarman berkata, buat masa ini sebanyak 500 pokok tua ditebang secara berkala bagi memastikan ia tidak menyebabkan kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa.
“Hari ini kita turut mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Tender untuk menyenggara pokok-pokok berisiko tumbang di kawasan kita. Seramai 87 kontraktor pangkasan sudah pun dilantik.
“MBSA juga memperuntukkan sebanyak RM17 juta untuk menyenggara dan memotong pokok-pokok tua yang berisiko tersebut,” katanya pada Program Makan Percuma MBSA, hari ini.
Sebelum ini, seorang dilaporkan maut dalam kejadian pokok tumbang dekat Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan, ketika ini tiada insiden pokok tumbang yang menyebabkan kehilangan nyawa cuma kerugian harta benda berlaku di sekitar kawasan seliaan MBSA.
Terdahulu, dalam Program Makan Percuma Bersama MBSA, Cheremi memaklumkan seramai 300 baucer makan percuma diberi kepada golongan yang memerlukan. – UTUSAN










