HULU TERENGGANU: Seramai 10 pelajar Sekolah Menengah Sains Hulu Terengganu (SAHUT), Kuala Berang, dekat sini, berjaya menyelamatkan diri setelah asrama dihuni mereka terbakar, hari ini.
Dalam kejadian tersebut, bilik asrama lelaki berkeluasan 20×20 kaki musnah sehingga 70 peratus.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Berang, Zulhisham Mohamad Yusof berkata, pihak bomba menerima panggilan berhubung kejadian pukul 3.39 pagi bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, seramai 15 anggota daripada BBP Kuala Berang dan BBP Wakaf Tapai telah digerakkan ke lokasi.
“Seramai 10 pelajar berjaya keluar daripada bangunan asrama dalam keadaan selamat setelah menyedari berlakunya kebakaran,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Beliau menambah, pihak bomba menjalankan operasi pemadaman kebakaran menggunakan sumber air daripada pam jentera.
“Operasi memadam kebakaran tamat pukul 5.46 pagi,” ujarnya.
Sementara itu, Zulhisham berkata, punca sebenar kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. – UTUSAN










