KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga emas yang disyaki memaki hamun dan mengugut jurutol di Plaza Tol Segambut, Lebuh Raya Duta-Ulu Klang (Duke) di sini pada Ahad lalu dicari polis.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, pihaknya menerima aduan daripada mangsa berusia 20 tahun berhubung kejadian pukul 11.15 malam itu.
Kata beliau, kejadian berlaku apabila suspek yang menaiki kereta jenis Honda Civic tidak dapat melepasi palang tol memandangkan baki Touch ‘n Go (TnG) tidak mencukupi.
“Lelaki itu marah apabila mangsa meminta suspek untuk membuat bayaran secara debit.
“Kemudian berlaku seperti diviralkan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, kata beliau, pihaknya telah mengenal pasti lelaki itu, warga tempatan berusia 60 tahun yang juga pemilik kenderaan Honda Civic tersebut.
“Pemeriksaan terhadap pemilik kenderaan didapati sama dengan identiti suspek yang dikenal pasti.
“Kita akan tangkap dan kesan suspek menggunakan pasukan operasi,” katanya.
Jelas beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.
Terdahulu, tular di media sosial seorang lelaki bertindak memaki-hamun jurutol gara-gara tersekat kerana kekurangan baki dalam kad tambah nilai TnG.
Menerusi video berkenaan, pemandu tersebut memberikan wang tunai sebelum ditolak kerana pembayaran hanya diterima melalui kad debit atau TnG.
Akibat terlalu lama pemandu berhenti di lorong plaza tol, jurutol tersebut kemudian menerima wang tunai sebelum dimarahi lelaki tersebut.










