Vietnam jadi lubuk baharu jenayah ‘scam’, mangsa luah dipaksa makan babi

Vietnam jadi lubuk baharu jenayah ‘scam’, mangsa luah dipaksa makan babi

WAKIL MHO berbual dengan mangsa pemerdagangan manusia yang diselamatkan dari Vietnam di KLIA. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Seorang mangsa jenayah pemerdagangan manusia di Vietnam merayu rakyat Malaysia agar usah tertarik dengan tawaran kerja gaji lumayan di luar negara yang diragui.

Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Faizal, 28, dari Pontian, Johor mendakwa sering diarahkan makan babi sepanjang berada di negara berkenaan lebih setahun lalu.

“Ada ramai lagi warga Malaysia di sana yang masih terkandas dan kami semua asalnya ditawarkan kononnya akan kerja kasino di Ho Chi Minh City,” katanya yang juga antara sembilan mangsa skim jenayah penipuan atas talian yang ditemui di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

Mereka diselamatkan oleh Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa (MHO) setelah menerima aduan mengenai kes terbabit daripada mangsa sendiri akhir tahun lalu.

Mengulas lanjut, Faizal mendakwa, mereka ke sana pada Februari tahun lalu dan dikerah bertugas sebagai ejen panggilan palsu yang sindiketnya didalangi seorang warga Taiwan.

“Ibu bapa kami kemudian baru dapat tahu ramai terperangkap kena tipu di sana namun tidak dapat berbuat apa-apa sebelum kami berjaya menghubungi MHO sendiri,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Misi MHO, Azirul Syafiq Sazali berkata, selepas menerima maklumat mangsa, pihaknya segera menghubungi polis di Vietnam seterusnya bertindak melakukan serbuan mengejut di pusat jenayah berkenaan dan turut berjaya menahan ketua sindiket.

Bagaimanapun ujar beliau, kesemua mangsa ditahan di depoh imigresen Ho Chi Minh City hampir lima bulan sebelum kes selesai hasil bantuan Kedutaan Besar Malaysia di Hanoi.

“MHO menganggarkan terdapat sejumlah 17 rakyat Malaysia masih berada dalam tahanan pihak berkuasa Vietnam dan dijangka dapat dibebas secara berperingkat tidak lama lagi.

“Kami berpendapat bahawa Vietnam ketika ini sudah mula menjadi lubuk baharu jenayah ‘scam’ yang asalnya daripada sindiket pemerdagangan di Myanmar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN