ULESB fokus pembangunan hartanah di Pantai Timur

ULESB fokus pembangunan hartanah di Pantai Timur

NOOR Azmi Salleh (tengah) berbual bersama murid SK Sungai Soi pada Majlis Sinar Ramadan UDA 2024@Kuantan di Timorra Venue, Tanjung Lumpur di Kuantan, Pahang. – UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: UDA Holdings Berhad (UDA), peneraju pembangunan hartanah dan pengurusan aset merangkumi pelaburan dan pengurusan harta, hospitaliti serta pengurusan fasiliti menerusi anak syarikat UDA Land East Sdn. Bhd. (ULESB) memfokuskan kepada pembangunan hartanah di Pantai Timur.

Selari dengan peranan menggalakkan pemilikan hartanah di kawasan bandar dan memacu pelaksanaan pembangunan mampan, UDA menawarkan pelbagai rangkaian produk hartanah antaranya Pelindung Heights di Kuantan dengan keluasan tanah keseluruhan 22.25 hektar.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Datuk Sr. Mohd. Salem Kailany berkata, kini, UDA sedang membangunkan Pelindung Heights Fasa 1B pakej tiga iaitu 16 unit rumah berkembar dua tingkat berkeluasan 2,341 kaki persegi yang dikelilingi pelbagai kemudahan seperti sekolah, hospital, pasar raya, pusat rekreasi, lebuh raya dan lokasi tarikan pelancong Pantai Teluk Cempedak.

“Pelindung Height Fasa 1B pakej empat bakal menyusul dan menyediakan 12 unit rumah berkembar dua tingkat dengan keluasan 2,407 kaki persegi.

“Bagi fasa dua hingga tujuh, UDA menjangkakan pembinaan pelbagai komponen seperti lot banglo, kedai pejabat, apartmen dan hotel,” katanya di sini.

Pada Majlis Sinar Ramadan UDA 2024@Kuantan di Timorra Venue di Tanjung Lumpur sini, kelmarin, seramai 80 asnaf terdiri daripada 40 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Soi dan 40 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Soi menerima sumbangan zakat wakalah berjumlah RM23,400 yang disalurkan menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) UDA Cares.

Setiap pelajar menerima sumbangan duit raya bernilai RM250 sebagai persiapan menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Pada majlis yang sama, UDA turut mengundang para pelanggan korporat dan pihak berkuasa tempatan bagi merapatkan hubungan dan mengukuhkan rangkaian.

Majlis Sinar Ramadan UDA 2024@Kuantan disempurnakan oleh Ketua Pegawai Operasi Pembangunan Hartanah Kumpulan UDA,. Noor Azmi Salleh diiringi Ketua Pegawai Operasi ULESB, Che Omar Shahuddin Mohamad. Turut hadir, pengurusan dan kakitangan UDA serta pihak berkuasa tempatan dan perunding.

Mohd. Salem berkata, agihan sumbangan zakat wakalah UDA menerusi CSR UDA Cares ini dilaksanakan saban tahun khususnya di wilayah perniagaan UDA.

“Inisiatif ini tanda keprihatinan dan komitmen UDA terhadap kelestarian dengan mengimbangi antara aspek perniagaan dan tanggungjawab sosial seterusnya mendekati dan menyumbang semula kepada komuniti setempat. Semoga bantuan ini membantu mereka membuat persiapan menjelang lebaran serta menyemarakkan lagi sambutan Ramadan dan Syawal tahun ini.

“Usaha ini bertepatan prinsip penjenamaan baharu UDA iaitu ‘L.I.F.E.’, akronim bagi Legasi, Integrasi, Ketelitian dan Memperkasa yang menterjemahkan komitmen UDA untuk memberi nilai tambah kepada kehidupan komuniti setempat melalui aktiviti sosial dan ekonomi. Inisiatif yang menekankan kepada aspek kelestarian ini juga seiring langkah meneruskan Legasi UDA,” katanya.

Pada akhir Mac lalu, UDA menyalurkan sumbangan zakat wakalah sekitar lebih RM42,000 yang memanfaatkan seramai 141 anak-anak asnaf di Johor dan Melaka.

Secara keseluruhannya, UDA menyumbang RM65,700 agihan zakat wakalah kepada 221 anak dan pelajar asnaf di tiga wilayah perniagaan UDA termasuk di Kuantan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN