SERDANG: Radius pencarian dua beranak yang dikhuatiri lemas di sebatang sungai di Jalan KP 4/9 Kota Perdana di sini semalam diperluaskan sehingga enam kilometer dari lokasi kejadian.
Pengarah Bomba Selangor, Wan Md. Razali Wan Ismail berkata, usaha itu dilakukan bagi mencari dua mangsa yang dilaporkan hilang sejak semalam.
Katanya, operasi menyelamat turut dibantu Unit Anjing Pengesan (K9).
“Hari ini pasukan penyelamat dibahagikan kepada tiga pasukan. Ketiga-tiga pasukan membuat pencarian dalam radius enam kilometer.
“Pasukan pencarian dibantu unit K9 bersama dua ekor anjing pengesan (Lady dan Cross) dalam misi pencarian ini,” katanya.
Terdahulu, pasukan bomba meneruskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua lagi mangsa iaitu wanita berusia 38 tahun dan anak perempuannya berusia empat tahun kira-kira pukul 8 pagi tadi.
Media semalam melaporkan, kegembiraan lima beranak berakhir tragedi apabila empat daripada mereka dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan dalam kejadian kepala air di sebuah sungai di Jalan KP 4/9 Kota Perdana, di sini kira-kira pukul 4.35 petang.
Pihak bomba dimaklumkan oleh ayah mangsa bahawa terdapat tiga kanak-kanak (dua lelaki dan satu perempuan) serta seorang wanita dewasa lemas di sungai.
Seorang berjaya ditemui dalam keadaan selamat sekitar pukul 5 petang oleh orang awam sementara seorang lagi berusia 10 tahun ditemukan meninggal dunia manakala dua lagi belum ditemukan. – UTUSAN









