Tiada siapa mahu perdagangkan cinta - Sufian Suhaimi - Utusan Malaysia

Tiada siapa mahu perdagangkan cinta – Sufian Suhaimi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“SUFIAN ini macam tiada tuah dalam cinta, asyik-asyik terkandas di tengah jalan. Ke sahaja buat kandungan media sosial, untuk raih publisiti?”

Itu antara komen atau mungkin kecaman segelintir warganet yang dirangkumkan apabila timbul ura-ura mengatakan percintaan penyanyi, Sufian Suhaimi dan teman wanitanya terputus di persimpangan jalan.

Tiada angin, tiada ribut, hubungan yang sudah memasuki fasa merisik itu dikhabarkan sudah tiada bersambung lagi. Maka terimbaslah semula kisah putus cinta yang pernah dilalui penyanyi Menggengam Bahagia itu.

Hits mendapatkan Sufian. Merungkai dakwaan yang bebas berterbangan. Benarkan dia bukan lagi milik seseorang? Apa punca perpisahan? Adakah itu hanya publisiti rekaan? Sufian, apa cerita.

Kecoh baru-baru ini ada ura-ura mengatakan hubungan Sufian dan teman wanita sudah putus ditengah jalan. Ditambah pula, ada dakwaan mengatakan kalian sudah saling tidak mengikuti akaun Instagram masing-masing. Komen Sufian?

Saya rasa lebih baik berterus-terang kan. Ya, hubungan merisik itu sudah tidak ada. Masing-masing menerima keputusan itu dengan hati terbuka. Tiada dendam atau isu berlarutan.

Kami juga sebenarnya masih mengekalkan hubungan baik. Keluarga masing-masing pun sudah kenal. Keputusan itu atas persetujuan dan kerelaan hati kedua-dua pihak. Proses pulangkan cincin juga berlangsung tenang dan baik.

Bila Sufian buat keputusan untuk memutuskan hubungan merisik itu? Apa punca di sebalik keputusan itu? Ada wujud orang ketiga kah?

Tidak ada orang ketiga atau apa-apa masalah besar. Cuma kami anggap tiada jodoh. Kami duduk berbincang dan merasakan hubungan ini perlu ada ruang sebelum ke arah yang lebih serius.

Keluarga saya pulang cincin pada awal Ramadan hari itu. Kami pun tak ada bincang pasal hubungan ini atau masalah tertentu. Mungkin jodoh tidak ada. Itulah penting adat kita kan, ada ruang fikir dahulu.

Ada rasa ralat dengan perpisahan itu? Sepatutnya Sufian dan si dia merancang untuk bernikah tahun ini kan?

Ralat itu tidak ada pun sebab perpisahan ini diputuskan secara baik. Perkahwinan bukan sesuatu yang boleh dilakukan dengan tergesa-gesa. Saya tak mahu ada perasaan terdesak untuk berkahwin.

Saya hormati dia dan keluarganya juga. Dia sangat baik, begitu juga keluarganya. Tiada sedikit pun penyesalan. Saya sentiasa doakan dia bertemu kebahagian. Andai kata jodoh kami masih ada, saya juga tidak tahu kan.

Bila terjadinya perpisahan ini, ada yang beranggapan Sufian seperti tiada tuah dalam percintaaan. Ada sahaja rintangan dan dugaan dalam usaha membina sebuah masjid. Mungkin ada yang suruh mandi bunga ke?

Tak adalah sampai tahap itu. Saya anggap perkara ini juga berlaku kepada segelintir pihak di luar sana. Ada yang berkali-kali melalui fasa ini. Normallah kan. Kita manusia, ada ujian dan dugaannya.

Saya anggap ini adalah jalan cerita hidup saya. Melalui proses perkenalan, sesuaikan diri dan mencari titik tengah. Apabila merasakan hubungan itu tidak boleh dibawa ke mana, kita putuskan dengan baik.

Ada juga cakap ini hanyalah content? Untuk raih publisiti?

Sampai hati cakap begitu tak baiklah. Mana ada orang nak perdagangkan cinta kan. Lagi-lagi saya ini orangnya privasi. Tak berapa gemar kongsi soal peribadi. Apatah lagi hendak komersialkannya.

Saya tak akan buat begitu, semata-mata untuk kekal relevan. Banyak lagi cara antaranya hasilkan lagu-lagu yang berkualiti. Tak begitu? Macam untuk raya tahun ini, saya tampil dengan lagu baharu, Jom Pulang. Jangan lupa dengarkan ya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN