KUALA LUMPUR: Human Rights Watch (HRW) belum tampil menjelaskan berhubung dakwaan badan itu bahawa berlaku penderaan dan mencabuli hak asasi manusia terhadap tahanan di depoh tahanan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di negara ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerajaan memberi peluang untuk badan bukan kerajaan (NGO) itu menunjukkan bukti dan kerjasama mengenai dakwaan tersebut namun sehingga kini HRW belum memberi maklum balas.
Menurut beliau, tindakan HRW membuat dakwaan tersebut tidak bertanggungjawab
sedangkan kerajaan menerusi JIM sentiasa memastikan kebajikan tahanan warga asing yang ditempatkan di depot tahanan itu terjamin.
“Ada warga asing dari Filipina dan Amerika Syarikat (AS) yang sudah berada di tahanan depoh JIM lebih tiga tahun. Mereka tidak boleh pulang ke negara asal disebabkan negara terbabit tidak mengaku tahanan itu sebagai warganegara mereka.
“Sebagai contoh, apabila ditanya, mereka akan mengatakan mereka adalah warga AS, namun apabila disemak, kedutaan AS tidak mengakui tahanan tersebut.
“Tiba-tiba HRW lapor kita berlaku kejam pula. Kalau betul nak melindungi hak asasi manusia, bantulah kami uruskan mereka ini dengan lebih baik. Hal ini sepatutnya HRW mitigasi dan bantu kita,” katanya.
Saifuddin berkata demikian selepas Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni JIM Bersama Menteri Dalam Negeri 2024 di Depoh Imigresen Bukit Jalil, di sini malam tadi.
Sebelum ini, HRW mendakwa tahanan di depoh imigresen diberikan layanan buruk dan berlaku pencabulan hak asasi manusia ke atas mereka.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, terdapat 20 depoh imigresen di Malaysia dengan kapasiti 20,450 tahanan, namun sehingga 31 Mac lalu, jumlah tahanan berkurangan kepada 13,530 orang.
Tambah beliau, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM122.6 juta untuk tahanan di depoh iaitu meliputi kos penghantaran pulang, pengurusan utiliti, makanan, minuman dan keperluan asas.
“Kerajaan turut menyediakan peruntukan RM209.2 juta untuk menaik taraf depoh tahanan di beberapa negeri seperti Lenggeng, Negeri Sembilan; Pekan Nanas, Johor; Bekenu, Sarawak serta Sandakan dan Tawau di Sabah yang dijangka siap pada 9 Jun hadapan.
“Naik taraf tersebut meliputi pagar keselamatan, kamera litar tertutup (CCTV) dan penggera keselamatan bagi tujuan kawalan pemantauan,” jelasnya.- UTUSAN










