PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan keyakinan terhadap Bank Pembangunan Islam (IsDB) akan terus memain peranan penting menangani isu ketidaksamaan dan marginalisasi, terutama dalam kalangan umat Islam.
Perdana Menteri berkata, bank itu mempunyai peranan menangani isu ketidakadilan, ketidaksamaan dan marginalisasi terutamanya dalam kalangan umat Islam.
“Umat Islam masih merupakan kumpulan terbesar dari segi jumlah kawasan yang dilanda kemiskinan yang diabaikan.
“Saya fikir, selain usaha oleh kebanyakan kerajaan dan badan antarabangsa kita, IsDB mempunyai peranan penting untuk menangani isu ini.
“Malah, apabila kita melihat harapan untuk penyelesaian yang baik terhadap konflik di Gaza selepas berhadapan kekejaman oleh rejim Israel,” katanya dalam ucapan pada sambutan Jubli Emas IsDB di Riyadh, Arab Saudi malam semalam.
Anwar berkata, apabila isu ini dapat diselesaikan, IsDB akan dilihat sebagai pemain yang mengagumkan, bersama-sama dengan kerajaan yang mencuba memulihkan ekonominya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, bank itu perlu merebut peluang tersebut.
“Jika kita tidak mengambil peluang ini, ketidaksamaan akan bertambah buruk, masalah akan timbul. Dan kita akan melihat sekali lagi, marginalisasi yang besar dalam komuniti kita,” tegas beliau.
Selepas menyaksikan sumbangan IsDB sejak 50 tahun yang lepas, Perdana Menteri menyatakan keyakinannya terhadap keupayaan bank itu untuk terus maju, terutamanya dengan kepimpinan muda baharu yang menerajuinya.
“Saya mempunyai keyakinan penuh bahawa anda akan menjadi pemain utama untuk melangkaui fokus lazim Bank Pembangunan Islam, tetapi maju ke hadapan untuk menangani isu-isu penting mengenai teknologi baharu.
“Keperluan untuk keterangkuman dan semangat membantu orang ramai, terutamanya mereka yang dipinggirkan, melalui pendidikan, latihan, peluang ekonomi, pemerkasaan ekonomi dan keusahawanan,” kata beliau.
Beliau berkata, IsDB mendapat sokongan Malaysia dalam usahanya ke arah ini.
Sementara itu, Anwar turut menyertai pemimpin negara anggota dan bukan anggota lain dalam merakamkan ucapan tahniah kepada bank itu bersempena ulang tahun ke-50 memupuk pembangunan sosio-ekonomi dalam kalangan negara anggotanya.
Malaysia menyertai IsDB pada 12 Ogos 1974 dan mempunyai langganan modal sebanyak 1.55 peratus bernilai ID868.18 juta (dinar Islam) atau bersamaan dengan satu hak cabutan khas Tabung Kewangan Antarabangsa.
Selain itu, IsDB membiayai 166 projek di Malaysia yang bernilai AS$963.2 juta dengan sejumlah 160 projek (AS$945.8 juta) telah siap manakala enam lagi projek (AS$17.4 juta) sedang dilaksanakan.
Anwar berada di Riyadh selama dua hari sejak Ahad bagi mengetuai delegasi Malaysia meninjau pelbagai peluang ekonomi dan menarik pelaburan baharu di Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF).
Sementara itu, Anwar memberitahu, TotalEnergies sebuah syarikat tenaga Perancis menyatakan komitmen dan bersetuju mempertingkatkan pelaburan dalam sektor huluan minyak dan gas serta terus meneroka peluang dalam bidang penyimpanan karbon di negara ini. – UTUSAN










