KLANG: Pasangan suami isteri yang ditahan polis pada hujung bulan lalu kerana membekal senjata api kepada seorang lelaki Israel dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.
Bagaimanapun, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan ke atas mereka di hadapan Hakim Sharifah Hascindie Syed Omar.
Berdasarkan pertuduhan, Sharifah Faraha Syed Husin, 41, dituduh memiliki senjata api jenis CZ 75 P-01 CAL.9 Luger sementara suaminya Abdul Azim Mohamad Yasin, 43, pula dituduh ada bersama dan mengetahui isterinya memiliki senjata tersebut.
Kesalahan itu dilakukan pada 29 Mac lalu kira-kira pukul 8 malam dekat sebuah rumah di Jalan Haji Omar, Kampung Bukit Belimbing, Kuala Selangor.
Justeru, Sharifah Faraha dan Abdul Azmin masing-masing dituduh di bawah Seksyen 9 dan 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebatan sekurang-kurangnya enam kali.
Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim kemudian memaklumkan kepada mahkamah, tiada tawaran jaminan diberikan apabila pertuduhan dihadapi mereka adalah kesalahan yang tidak boleh dijamin.
Hakim Sharifah Hascindie kemudian tidak memberikan sebarang jaminan dan menetapkan sebutan semula kes pada 11 Jun depan di Mahkamah Sesyen Kuala Selangor dan lantikan peguam mewakili kedua-dua tertuduh.
Prosiding dikendalikan Mohammad Fakhrurrazi dan dibantu Fazeedah Faik.
Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan penahanan sepasang suami isteri yang dipercayai membekal enam senjata api kepada seorang lelaki rakyat Israel yang ditahan polis dekat sebuah hotel di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Suami isteri itu diberkas oleh sepasukan pegawai dan anggota Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Susulan penahanan pasangan itu, polis menemukan sepucuk pistol berwarna perak di dalam bonet sebuah kereta jenis Honda Jazz milik mereka. – UTUSAN










