KLANG: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan mengemukakan struktur baharu bekalan beras putih tempatan (BPT) dalam pasaran negara dalam tempoh beberapa bulan, sekaligus menyelesaikan masalah tersebut secara keseluruhan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kementeriannya akan berbincang dengan beberapa kementerian yang terbabit dalam rantaian bekalan BPT dalam masa terdekat.
“Buat masa ini, kita melakukan langkah intervensi seperti yang diputuskan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) baru-baru ini iaitu mengubah kontrak penggunaan BPT kepada beras putih import (BPI) bagi sekolah asrama, polis, tentera dan hospital pada hujung April depan.
“Penukaran kontrak ini akan membuatkan 200,000 tan BPT berada dalam pasaran tempatan,” katanya selepas merasmikan jualan Semarak Syawal Agro Madani Peringkat Kebangsaan, hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan bekalan BPT masih belum pulih sehingga menyukarkan rakyat mendapatkan bekalan makanan ruji itu.
Susulan itu, Presiden Persatuan Beras Bumiputera Malaysia (Barim), Ismail Awang merayu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya masuk campur dalam isu berkenaan kerana masalah bekalan BPT telah berlaku sejak tahun lalu.
Sementara itu, mengulas mengenai jualan Semarak Syawal Agro Madani, sebanyak 113 lokasi daripada 753 outlet pemasaran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di seluruh negara dipilih untuk mengadakan jualan tersebut.
“Jualan itu berlangsung sejak 3 April lalu sehingga menjelang sambutan hari raya Aidilfitri. Apa yang menarik, peniaga menjual bahan makanan yang murah sehingga 30 peratus daripada pasaran terbuka.
“Misalnya, seekor ayam yang dijual dalam jualan Semarak Syawal Agro Madani dijual pada harga RM10 seekor, berbanding RM15 di pasaran,” ujarnya. – UTUSAN










