GUA MUSANG: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memantau perjalanan proses Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu sama ada berlaku rasuah atau penyalahgunaan kuasa sepanjang kempen berlangsung.
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, susulan itu agensi berkenaan akan membuka dan mengaktifkan bilik gerakan di negeri berkenaan serta ibu pejabat.
“Kita memang alu-alukan dan menggalakkan orang ramai untuk membuat laporan kepada SPRM jika wujud unsur-unsur rasuah sepanjang proses berkenaan dalam pelbagai cara dengan datang ke pejabat, bilik operasi atau melalui aplikasi MACCMobile.
“Pelbagai cara lagi yang ada sekarang ini untuk disalurkan maklumat dan SPRM akan bertindak sekiranya ada isu-isu rasuah dan salah guna kuasa yang boleh kita siasat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pejabat SPRM Cawangan Gua Musang di Bangunan Wisma Persekutuan di sini hari ini.
Azam turut menasihatkan calon dan ejen kempen pilhan raya supaya memahami undang-undang tentang isu rasuah yang menyalahi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1952.
“Kita menyeru supaya kempen-kempen diadakan dengan cara tertib dan bersih supaya kemenangan sesuatu calon itu kemenangan yang tulen bukan akibat daripada pengaruh rasuah atau salah guna kuasa,” katanya.
Sebelum ini, Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu dijadual diadakan pada 11 Mei depan selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan mesyuarat khas hari ini.
Pengerusi SPR. Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, hari penamaan calon bagi PRK Kuala Kubu Baharu pula ditetapkan pada 27 April 2024 (Sabtu).
Sebagai rekod, pada PRN tahun lalu, Lee Kee Hiong daripada parti DAP berjaya mempertahankan kerusi DUN Kuala Kubu Baharu dengan majoriti 4,119 undi apabila mengalahkan Teoh Kien Hong (GERAKAN), Siva Prakash Ramasamy (MUDA) dan Chang Boon Lai (Parti Rakyat Malaysia).
Kerusi itu diisytiharkan kosong selepas Kee Hiong meninggal dunia pada 21 Mac lalu akibat kanser. Pengundian bagi PRK akan berlangsung pada 11 Mei depan, manakala hari penamaan calon pada 27 April. – UTUSAN










