Siapkan 1,000 kg tempahan dodol raya

Siapkan 1,000 kg tempahan dodol raya

DODOL yang dihasilkan Khirul Idris Ismail menggunakan beras pulut dikisar menjadikan makanan tradisi itu agak kenyal, lembut dan mudah dipotong. – UTUSAN/MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAMPAR: Setiap kali menjelang sambutan Aidilfitri, Khirul Idris Ismail, 59, tidak menang tangan memenuhi tempahan pelanggan untuk menikmati dodol beras pulut kisar diusahakannya sejak lebih 30 tahun.

Bukan untuk berbangga atau ingin meninggi diri, lelaki yang mempunyai tiga zuriat yang semuanya wanita itu perlu me­nyiapkan kira-kira 1,000 kilogram (kg) bagi memenuhi tempahan sebelum Aidilfitri.

Beliau yang turut menjual makanan tradisi kaum Melayu dengan jenama Iddris dodol itu memberitahu, jika bulan-bulan biasa jualannya sekitar 50 hingga 60 kg sahaja sebulan.

“Dodol biasanya sesuai dinikmati semasa perayaan terutama Aidilfitri kerana itu makanan ini menjadi paling laris dengan kira-kira 1,000 kg dijual berbanding sekitar 50 hingga 60 kg pada bulan-bulan biasa.

“Syukur kerana dodol keluaran saya turut dinikmati oleh rakyat kita yang melanjutkan pengajian di Jerman, Kanada dan Croatia,” katanya di Kampung Haji Dahlan, Mambang Diawan di sini, semalam.

Beliau menjual produknya dalam saiz pek 500 gram dan sekilogram dengan harga ma­sing-masing RM14 dan RM28.

Kata Khirul Idris, pada mulanya dia menjual dodol di­sebabkan ia adalah makanan kegemarannya selain ingin mengurangkan persaingan ke­rana ia bersifat bermusim.

“Kebiasaannya, ramai yang gemar untuk menikmati dodol pada Aidilfitri kerana ia antara juadah utama.

“Namun kini, ramai yang sukakannya pada bulan-bulan biasa untuk dimakan selain dijadikan sebagai hantaran, cenderamata atau hadiah semasa majlis dan kenduri kahwin,” katanya.

Khirul Idris memberitahu, dia mengekalkan resipi emak sauda­ra yang telah lama me­ninggal dunia bagi menghasilkan dodol yang tidak melekit dan mudah dipotong untuk dinikmati oleh semua golongan bermula daripada kanak-kanak hingga orang dewasa..

“Arwah memberitahu gunakan beras pulut yang dikisar sendiri bersama pati santan segar supaya dodol tidak terlalu manis dan sesuai untuk semua peringkat umur.

“Beras pulut yang dikisar untuk dijadikan tepung itu membuatkan dodol yang dihasilkan lebih lembut, kenyal dan mudah dipotong,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×