GERIK: Seorang lagi mangsa kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di Kilometer 51.3, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Gerik-Jeli di sini, meninggal dunia sekitar pukul 11 malam tadi.
Mangsa, Aminuddin Othman, 54, merupakan guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Mahmud Paduka Raja (1) di Tanah Merah, Kelantan.
Aminuddin yang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Innova menghembuskan nafas terakhir semasa menerima rawatan di Hospital Taiping.
Ini menjadikan jumlah mangsa yang maut akibat insiden berkenaan seramai tiga orang, setakat ini.
Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri ketika dihubungi mengesahkan laporan kematian tersebut.
Dalam kejadian sekitar pukul 12.20 tengah hari semalam, pasangan suami isteri, Kamizan Kasimon, 42, dan Noor Asmah Mat Zainal, 38, meninggal dunia akibat kecederaan parah selepas kereta jenis Proton Persona dinaiki mereka terlibat nahas dengan MPV dinaiki enam sekeluarga.
Kemalangan tersebut turut mengakibatkan anak perempuan pasangan itu berusia tiga tahun cedera di dada manakala anak lelaki berusia 10 tahun pula cedera di bahagian dalaman badan.
Difahamkan, kejadian berlaku ketika empat beranak itu dalam perjalanan pulang berhari raya ke kampung Kamizan di Kampung Tanjung Sabtu, Kuala Terengganu, Terengganu. – UTUSAN










