SHAH ALAM: Selangor sasar kemasukan pelancong dari China seramai 7 juta menjelang 2025 selepas negeri ini menerima lonjakan sehingga 73 peratus iaitu 352,001 orang dari negara republik itu pada tahun lalu.
Malah, negeri ini menerima kemasukan pelancong China seramai 203,615 pada 2022 menjadikannya kekal sebagai destinasi utama berbanding pasaran lain di Asia Tenggara.
Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Datuk Ng Suee Lim berkata, kemasukan yang besar itu disumbang oleh kewujudan tarikan destinasi digemari mereka seperti taman tema air, pelancongan eko serta agro.
“Minat pelancong China dengan tarikan pelancongan Selangor adalah petunjuk jelas tentang daya tarikan negeri ini yang semakin meningkat dan hubungan kukuh yang terbina bersama China.
“Delegasi dari Tourism Malaysia dan Tourism Selangor memulakan misi jualan di seluruh China yang menyasarkan bandar Dalian, Shenyang, Changchun dan Harbin yang mempunya gabungan populasi lebih 25 juta.
“Program itu bukan sahaja menandakan komitmen untuk mengalu-alukan kedatangan mereka, tetapi turut memaparkan lagi Selangor sebagai destinasi pelancongan dinamik dan sedia menawarkan pengalaman pelancongan unik kepada pelancong antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan memberitahu promosi pelancongan negeri ditingkatkan lagi dengan kerjasama beberapa badan pelancongan utama seperti Pertubuhan Jawatankuasa dan Pembangunan Pelancongan Dalian, Pejabat Hal Ehwal Luar Negeri Heilongjiang dan Biro Kebudayaan dan Pelancongan Perbandaran Xiamen.
“Jalinan kerjasama itu dijangka akan membuka peluang baharu abgi aktiviti promosi termasuk Familiarization Trip, pemasaran kandungan dan peluang perniagaan kepada sektor pelancongan tempatan serta mengukuhkan lagi kedudukan Selangor dalam pasaran China.
“Tourism Selangor juga bekerjasama dengan Tourism Malaysia yang berpangkalan di Bejing dan Shanghai bagi menyasarkan lebih banyak kemasukan penerbangan terus dari China oleh syarikat penerbangan dari kedua-dua negara,” jelasnya.
Katanya lagi, terkini kekerapan penerbangan antara Malaysia dan China adalah sekitar 327 yang dijadualkan dalam seminggu. – UTUSAN










