Selangor pertimbang longgar syarat pemutihan tahfiz - Utusan Malaysia

Selangor pertimbang longgar syarat pemutihan tahfiz

Tahfiz
SHAHZIHAN Ahmad (tengah) dan PU Muhd.Hafiz (duduk, dua kiri) bergambar bersama penerima anugerah pada majlis penutup Ijtimak Huffaz Ke-17 di Shah Alam, Selangor. - UTUSAN / ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Syarat-syarat kelulusan penubuhan menerusi program pemutihan pusat tahfiz persendirian di negeri ini akan diteliti termasuk membuat beberapa pengecualian untuk memudahkan pendaftarannya.

Menurut Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Shahzihan Ahmad, pengecualian syarat-syarat itu akan ditentukan oleh satu jawatan kuasa yang ditubuhkan untuk menilai perkara tersebut.

“Itu belum rasmi lagi (jawatankuasa) sebenarnya. Saya diarahkan oleh kerajaan untuk menubuhkan satu jawatan kuasa untuk menentukan dua kategori.

“Untuk menentukan dua kategori ini, jawatan kuasa diarahkan untuk mendefinisikan terlebih dahulu kedua-dua kategori ini, iaitu sama ada ia dikecualikan atau perlu melalui proses-proses yang diringankan,” katanya pada majlis penutup Ijtimak Huffaz Ke-17, malam tadi.

Jelasnya, kedua-dua kategori tersebut akan diputuskan oleh Menteri Besar Selangor dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dijadualkan pada bulan September depan.

“Tanggungjawab saya untuk membentangkan elemen-elemen, kriteria-kriteria diberi pengecualian dan tidak. Jawatankuasa akan bertemu selepas Hari Raya Aidilfitri (untuk menentukan elemen-elemen pengecualian syarat-syarat pemutihan),” ujarnya.

Sementara itu Pengerusi Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Selangor (PITAS), Muhd. Hafiz Haneefa berkata, buat masa ini proses pemutihan yang telah selesai melibatkan 100 buah tahfiz.

“Masih terdapat baki 400 tahfiz belum selesai. Sebenarnya sebahagiannya sudah berdaftar hanya mungkin yang Datuk sebut tadi kita sedang melihat pengecualian dari segi caj pemajuan dan juga premium tanah yang mana kita sedang berbincang dengan JAIS, supaya kerajaan negeri dapat mengurangkan premium tersebut,” jelasnya.

Januari lalu, tempoh pemutihan sekolah agama persendirian di Selangor dilapor dilanjutkan sehingga Disember tahun ini susulan garis panduan pemutihan baharu kini sedang dikemas kini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi, Dr. Mohamad Fahmi Ngah memberitahu, pertemuan bersama pengusaha-pengusaha sekolah agama persendirian sudah pun diadakan untuk tujuan berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN