SHAH ALAM: Kerajaan akan mengambil langkah menyekat penyeludupan sisa berjadual dari luar ke negara ini dengan mempertingkat kerjasama antara Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Kewangan.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pemerkasaan itu dibuat berikutan kewujudan aktiviti pengasihan sisa berkenaan melalui kewujudan kilang-kilang yang beroperasi secara haram.
“Sisa berjadual itu diseludup masuk melalui pelabuhan tanpa diisytiharkan. Memang sekarang ada operasi antara Jabatan Alam Sekitar (JAS), kastam dan polis, namun perlu dipertingkatkan dalam mengatasi masalah ini.
“Ini kerana apabila China memperketatkan kemasukan sisa berjadual ke negara mereka, kerja-kerja (memproses dan asingkan sisa industri) sebegini datang ke Malaysia, Indonesia, Filipina dan sekitarnya,”katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja premis haram memproses sisa elektronik (e-waste) di sini, hari ini.
Tambahnya, hasil dapatan terhadap serbuan ke premis haram di Jalan Kebun Tambahan itu juga mendapati ia bukan dari Malaysia.
Justeru, beliau menegaskan akan membawa isu tersebut ke kabinet untuk diwujudkan pendekatan bersepadu melibatkan semua agensi kerajaan.
Berhubung kewujudan premis di Jalan Kebun, Nik Nazmi memberitahu terdapat aduan diterima oleh JAS daripada penduduk apabila operasinya mencetuskan pencemaran bau busuk.
Jelasnya, siasatan JAS mendapati premis itu juga telah dijadikan tempat penstoran bagi sisa plastik dan skrap logam selain menjalankan aktiviti baik pulih buangan e-waste dan bateri terpakai.
“Premis ini telah dikenakan tindakan penahanan operasi kelengkapan (POK) bagi menghentikan operasinya dan notis arahan untuk melupuskan buangan terjadual ke premis dilesenkan JAS.
“Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 18, 19, 34 A (6), 34 B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. Kilang ini juga dioperasi daripada warga asing dan 100 pekerja haramnya telah ditahan Jabatan Imigresen,” tegasnya. – UTUSAN










