MELIHAT susur perjalanan seni bintang muda ini, titian kejayaan yang dilalui tidak lurus tegaknya. Ada lencong, ada halangan dan pastinya, ada rimbunan cemuhan yang harus dia redahi.
Tiada ada seorang pun anak seni yang boleh terbang bebas tanpa kecaman yang hadir entah dari arah mana. Begitu juga dengan Aisha Retno, penyanyi yang dilihat sebagai pelapis dan penerus kegemilangan industri muzik tanah air.
Jujur Aisha bukan seorang yang sukar dibawa berbicara. Orangnya sangat santai, senang terhibur walaupun adakala, dia bingung sendirian. Gelagatnya membuatkan orang senang bergaul dengannya.
Lantas, mengapa masih ada yang iri melihat kejayaannya? Mengapa dia masih dianggap tidak layak bergelar penyanyi di mata segelintir pihak? Adakah itu hadir dari ruang gelap dalam hati segelintir mereka?
“Sampai sekarang, ada sahaja yang tiba-tiba hantar pesanan menyuruh saya berhenti jadi penyanyi. Mereka cakap saya tidak layak jadi penyanyi, penghibur. Di Malaysia sudah ramai penyanyi macam saya.
“Tetapi saya tidak ambil dalam kata-kata itu. Saya anggap bising itu sebagai satu cetusan api semangat untuk saya buktikan sebaliknya, Cliche, tetapi itulah hakikatnya. Saya tak nak terpuruk dalam perasaan negatif.
“Saya tidak mahu membungkam perasaan sendiri hanya kerana kata-kata yang hati, usaha dan bakat saya nafikan. Hamparkan apa sahaja kejayaan saya, mungkin mereka masih tidak suka. Tak apa,” ujarnya.
Namun sebagai seorang manusia, mana mungkin hatinya tidak terguris sedikit. Penyanyi berusia 23 tahun ini juga mengangguk setuju, walau sekukuh mana dinding hatinya, adakala ada kata-kata yang menceroboh melukai.
“Tipulah kalau saya tidak termakan hatta sedikit kecaman itu. Adakala saya meragui kemampuan diri. Do I belong here? Adakah jalur muzik saya diterima? Adakah saya mampu bertahan?
“Apatah lagi, saya mengeluarkan ‘senjata’ muzik yang berbeza daripada artis sedia ada. Orang cakap kurang mesra. Cuma saya percaya dengan usaha. Saya kena percaya dengan muzik sendiri.
“Bergulirnya waktu, saya memahat kejayaan satu demi satu. Dua trofi Anugerah Juara Lagu ke-38 adalah antara pembuktian. Mungkin bukan untuk semua orang tetapi saya tahu, ruang peluang itu sentiasa ada,” katanya.

DOA SEORANG IBU
Lantas di mana dia memasakkan kaki untuk terus berdiri? Di mana dia gali kekuataan? Sumur usang mana penyanyi Sutera ini campakkan segala keraguan, keresahan yang bersarang kecil dalam hatinya?
“Saya rasa doa seorang ibu itu yang menyuluh cahaya untuk jalan terus. Ke mana sahaja saya pergi, ibu akan menemani. Dia selalu pesan, jaga diri, jaga hati. Beradab dengan orang lain, itu adalah tertib seorang manusia.
“Jujur juga, saya bertuah kerana dikelilingi pengurusan, sahabat handai dan rakan-rakan media yang tidak pernah putus memberi sokongan serta kritikan membina. Saya tidak hanya mengharap pujian semata.
“Kejayaan itu harus ada manis dan pahitnya. Tanpa pasukan yang baik dan kritikan yang membina, mungkin kita akan hanyut dalam perasaan sendiri. Sukar untuk sampai ke destinasi yang dituju,” kongsinya.
Cuma untuk mencapai sesuatu kemenangan, ada perkara yang harus dikorbankan. Bagi anak kepada penyanyi keroncong Indonesia, Jean Retno Aryani itu, masa adalah timbal balas kepada kejayaan yang diraih.
“Saya terlalu sibuk. Kadang-kadang masa untuk diri sendiri juga tidak ada. Saya mahu kembangkan perniagaan sambal, tetapi dengan tuntutan kerja sebagai penyanyi, terpaksa gerak perlahan-lahan.
“Saya perlu fokus sebagai penyanyi, penghibur, penulis lagu dan lirik. Ralat juga sebab saya mahu kembangkan perniagaan namun kekerapan kerja dalam industri muzik menuntut komitmen masa yang tinggi,”ujarnya.
Namun di kala rakan seusianya menikmati warna darah muda, Aisha menyusun masa untuk memastikan kehadirannya dalam industri seni kekal lama. Dia tidak mahu sekadar hadir sekejap cuma.
“Saya suka bekerja. Usia juga masih muda, tak perlu bazir masa. Saya anggap kerja seni ini sebagai cara untuk self-healing. Saya suka kaji, terokai jalur muzik berbeza. Bertemu peminat tersayang.
“Semua itu cara saya untuk memujuk hati jika ada rasa penat menyinggah. Senyuman, sorakan peminat itu adalah penguat semangat. Untuk mereka, saya berusaha sehabis baik,”kata penyanyi W.H.U.T. itu.

KONSERT SOLO LAGU BAHARU
Tidak manis jika bicara kami ini tidak melalui garis perancangan seninya. Apa yang bakal disajikan Aisha Retno tahun ini? Selepas kejayaan Sutera dan Ketipak Ketipung Raya, apa lagi Aisha?
“Sejujurnya, tertekan juga untuk keluarkan lagu baharu. Pengharapan peminat lebih tinggi terutama selepas AJL38. Tetapi tahun ini, saya ada perancangan besar. Lagu baharu dan konsert solo.
“Lagu baharu itu juga bergenre etnik kreatif. Ketika ini, saya suka meneroka jalur muzik etnik kreatif. Suntikan baharu dalam muzik saya yang mungkin sebelum ini orang kenali sebagai penyanyi r&b, balada kan.
“Kali ini, saya memberi penghargaan kepada darah Kelantan yang mengalir dalam badan. Sesuatu yang berbeza dan saya fikir, ini adalah siapa Aisha Retno buat masa ini. Di kemudian hari, kita teroka muzik baharu,” katanya.
Dalam masa sama, rezeki yang datang bergolek terutama dengan kehangatan lagu raya bersama Aziz Harun itu menjadikan dia harus sentiasa bersedia dengan projek seni berbeza kekuatan.
“Media sosial memang memainkan peranan besar, Mungkin ada yang pandang negatif tetapi bagi saya, semuanya bergantung kepada cara kita menggunakan media sosial itu. Kita yang mengawal.
“Saya juga tidak sangka Ketipak Ketipung Raya akan terus tular sebegitu luas. Sedangkan lagu itu ditulis secara seloroh dua tahun lalu. Itu adalah rezeki yang tidak terjangkakan. Harus dihargai,” kongsinya.










