KUALA LUMPUR: Bekas Pengarah SRC International Sdn. Bhd., Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau memberikan kepercayaan penuh terhadap keputusan dibuat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung pelaburan membabitkan dana RM1.8 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP).
Ini kerana, Shahrol berkata, beliau berasa wajib mengikut keputusan tersebut kerana ia datang daripada Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan dan pemegang amanah dalam 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Menurutnya, tiada tindakan usaha wajar (due diligence) dilakukan oleh SRC International kerana pada ketika itu, Resolusi Pekeliling Pengarah (DCR) telah ditandatangani Najib.
“Saya merasakan saya perlu mengikut arahan Perdana Menteri (Najib). Saya lebih suka untuk mendapatkan lebih banyak maklumat tetapi saya tetap menurunkan tandatangan saya. Ia bukan sekadar arahan, ia (telah) ditandatangan oleh Perdana Menteri dan bekas Menteri Kewangan dan pemegang amanah dalam 1MDB jadi ia memberi penekanan yang lebih.
“Kami cuba mendapatkan sebanyak maklumat yang boleh tetapi disebabkan Perdana Menteri telah menandatanganinya (beri kelulusan), kami akur sahaja. Kalau Perdana Menteri kata ia bagus, saya percaya akan keputusannya,” kata Shahrol Azral.
Beliau berkata demikian ketika memberi keterangan sebagai pihak ketiga dalam kes saman oleh SRC International.
Dalam tuntutan tersebut, lima bekas pengarah syarikat itu turut dinamakan sebagai pihak ketiga. Sebelum ini, SRC menggugurkan lima individu berkenaan dalam saman itu dan hanya mengekalkan Najib dan Nik Faisal sebagai defendan.
Lima individu itu ialah Datuk Suboh Md. Yassin, Datuk Mohammed Azhar Osman Khairuddin, Shahrol Azral, Tan Sri Ismee Ismail dan Datuk Che Abdullah @ Rashidi Che Omar. dan empat bekas pengarahnya.
SRC International yang juga anak syarikat 1MDB selaku plaintif, dalam writ saman mendakwa semua defendan bersubahat dan melakukan pecah amanah. Najib turut didakwa menyalahgunakan kuasanya dan memperoleh ganjaran peribadi daripada dana SRC selain menyeleweng dana itu.
SRC International memohon deklarasi bahawa semua defendan adalah bertanggungjawab untuk membayar kerugian dana pelaburan itu akibat penggunaan jumlah pinjaman terbabit, selain menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan, ganti rugi tambahan, faedah, kos dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Perbicaraan kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin bersambung 6 Mei ini. – UTUSAN










