SASaR Sungai Besi siap hujung tahun 2025

SASaR Sungai Besi siap hujung tahun 2025

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin (kanan) bercakap pada sidang akhbar selepas melakukan lawatan ke tapak perumahan Projek Perumahan Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) Sungai Besi di Plantinum South Valley (PSV) Sales Gallery di sini, hari ini. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Projek Perumahan Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Sungai Besi dijangka siap pada penghujung tahun 2025.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sebanyak 3,500 kunci unit rumah SASaR akan diserahkan pada anggota ATM yang berjaya ditawarkan.

Menurut beliau, kerja-kerja pembinaan SASaR di Sungai Besi sudah mencecah 65.51 peratus yang mana ia menyaksikan projek tersebut berjaya mencapai 21 hari lebih awal daripada jadual ditetapkan.

“Seperti kita sedia maklum soal perumahan bagi anggota tentera merupakan satu perkara yang sememangnya diberi tumpuan dan penekanan oleh pihak kerajaan.

“Bagi rumah-rumahSASaR yang dibina di kawasan ini (Sungai Besi) kita jangkakan dapat disiapkan pada penghujung tahun 2025 untuk kita serah kunci kepada mereka yang berjaya ditawarkan,” katanya selepas melakukan lawatan ke tapak perumahan di Plantinum South Valley (PSV) Sales Gallery bagi melihat proses SASaR Sungai Besi.

Untuk rekod, projek SASaR dilaksanakan di tiga kawasan iaitu di Sungai Besi, Kem Wardieburn dan Kem Pusat Latihan Kor Polis Tentera Diraja (PULAPOT) dengan jumlah keseluruhan 7,374 unit.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, pembinaan projek SASaR di dua kawasan lain dijangka akan dimulakan pada Julai ini.

“Di Kem Wardieburn dan Kem PULAPOT, kita jangkakan setelah mendapat semua kelulusan perancangan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan dimulakan dalam masa tiga bulan lagi,” katanya

Tambahnya, kerajaan mempunyai perancangan untuk memperluaskan projek SASaR di seluruh negara.

“Kita tawarkan kepada anggota yang sedang berkhidmat, kakitangan Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan veteran-veteran yang sudah bersara.

“Kita memahami keperluan kepada rumah-rumah ini di tempat lain tetapi kita nak pastikan ia berjaya di sini dahulu. Ini semua dalam perancangan MINDEF,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN