Samun berkumpulan: Tiga individu termasuk wanita ditangkap

Samun berkumpulan: Tiga individu termasuk wanita ditangkap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Tiga individu termasuk seorang wanita ditahan di sekitar Bahau dan Bandar Seri Jempol di sini, selepas dipercayai terbabit dalam kes samun berkumpulan sehingga menyebabkan kecederaan ke atas warga asing dalam kejadian Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, kira-kira pukul 9.30 malam 21 April lalu, pihaknya telah menerima laporan daripada seorang lelaki warganegara Myanmar yang mendakwa dia serta dua lagi rakannya telah disamun oleh empat individu di sebuah rumah di sebuah taman perumahan di Bahau.

Menurutnya, dalam kejadian tersebut, mangsa berusia 20 hingga 28 tahun telah mengalami kerugian dianggarkan sebanyak RM1,400 dan turut mengalami kecederaan di bahagian tangan, perut serta muka.

“Bertindak atas maklumat dan siasatan, tiga individu berusia 17 hingga 22 tahun berjaya ditangkap dua hari berturut-turut bermula kelmarin. 

“Hasil siasatan awal terhadap suspek yang ditangkap, mereka mengaku telah melakukan kegiatan samun sehingga mendatangkan kecederaan kepada mangsa,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Dalam pada itu, Chang Hook berkata, polis meminta seorang remaja bernama Lavakusan, 16, yang mempunyai alamat semasa di Jelutung, Kluang, Johor untuk tampil membantu siasatan berhubung kes tersebut.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai remaja berkenaan boleh menyalurkan maklumat kepada pegawai penyiasat kes, Inspektor R. Raj Kumar di 06-4582222 atau ke Balai Polis Bahau bagi membantu siasatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN