SHAH ALAM: “Kecuaian itu mengakibatkan kedua-dua kaki ini hilang sedangkan saya menghidap apendiks.”
Demikian luah seorang penolong jurutera Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang menjadi orang kurang upaya (OKU) selepas mendakwa menjadi mangsa kesilapan doktor bedah sebuah rangkaian hospital terkemuka di negara ini, lima tahun lalu.
Isman Ibrahim, 41, berkata, detik hitam itu berlaku selepas menjalani pembedahan susulan pemeriksaan imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) mendapati dirinya menghidap apendiks pada Jun 2019.
“Prosedur pembedahan itu tidak berjalan lancar apabila doktor yang membedah saya disyaki menebuk dan mengikat saluran darah utama hingga menyebabkan kaki menjadi hitam atau gangrene.
“Hospital itu kemudian memindahkan saya ke sebuah hospital swasta lain dan pemeriksaan lanjut menyebabkan kaki terpaksa dipotong bagi menyelamatkan nyawa,” katanya di Mahkamah Shah Alam di sini, semalam.
Dakwanya, pemotongan kaki dibuat pada paras paha dan perlu menjalani pembedahan pintasan saluran darah kekal bagi memastikan bahagian kekal dua kakinya boleh bergerak.
“Pada waktu itu, isteri saya sedang hamil anak keempatdan hati mana tidak sedih melihat diri ini sudah tidak seperti dulu. Selama 10 hari juga saya terpaksa menyembunyikan perkara itu daripada tiga anak lain,” ujarnya.
Menurut Isman, kecuaian itu turut mengakibatkannya mengalami sakit saraf selama tiga jam selang dua hari.
Sementara itu, Peguam Firhat Muhd. Fikri yang mewakili Isman berkata, prosiding di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Hazizah Kassim sepatutnya bagi perbicaraan namun pihaknya memfailkan semula tuntutan saman seperti dipersetujui anak guamnya.
“Tuntutan saman awal berjumlah RM55 juta dan pemfailan semula bagi memastikan kebajikan anak guam terjamin. Ini termasuk mendapat kos sebenar bagi kaki palsu daripada beberapa pengeluar.
“Kita mahu anak guam menjadi senormal mungkin kehidupannya. Pemfailan semula tuntutan itu akan dibuat dalam tempoh sebulan,” katanya.
Pada prosiding itu, rangkaian hospital berkenaan sebagai defendan diwakili peguam T. Tharumarajah. – UTUSAN










