KUALA LUMPUR: Seorang pengarah syarikat memberitahu Mahkamah Sesyen di sini semalam, beliau menyedari ditipu oleh seorang ahli perniagaan selepas wang RM19 juta yang dijanjikan untuk Datuk Seri Najib Tun Razak, tidak ‘sampai’ kepada bekas Perdana Menteri itu.
Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli, 65, berkata, wang itu diberikan kepada G. Gnanaraja bertujuan mengeratkan hubungannya dengan Najib untuk jaminan projek akan datang selain melindungi perniagaannya daripada pelbagai tohmahan.
Beliau ketika itu pengarah Consortium Zenith Construction Sdn. Bhd. (CZCSB) iaitu syarikat yang dilantik melaksanakan projek terowong dasar laut Pulau Pinang. CZCSB dahulunya dikenali sebagai Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group Sdn. Bhd. (CZBUCG).
Menurut saksi pendakwaan ke-23 itu, pada bulan Ogos 2017, Gnanaraja menghubunginya beberapa kali dan meminta RM2 juta meskipun sebelum itu beliau telah menyerahkan RM15 juta kepada syarikat Bumi Muhibbah Capital Holdings Sdn. Bhd.
“Saya beranggapan semua wang RM19 juta itu telah disalurkan kepada Najib melalui Gnanaraja meskipun hingga kini saya tidak pernah bertemu beliau yang ketika itu Perdana Menteri.
“Saya menyedari ditipu selepas pihak SPRM menjalankan siasatan. Saya tahu wang itu tidak ‘sampai’ kepada Perdana Menteri,” ujar beliau ketika merujuk pernyataan yang diberikannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Saksi utama pendakwaan itu memberi keterangan pada prosiding mencabar kredibiliti beliau pada perbicaraan kes rasuah Lim Guan Eng berkaitan projek terowong dasar laut Pulau Pinang.
Ketika ditanya oleh peguam Haijan Omar yang mewakili Guan Eng, Zarul Ahmad selanjutnya berkata, Gnanaraja memaklumkan wang RM2 juta itu untuk mengeratkan hubungan dengan Najib menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Ujar saksi berkenaan, wang itu juga bagi menghentikan serangan terhadapnya serta gangguan pihak-pihak tertentu yang menggunakan agensi penguatkuasaan untuk menjatuhkan beliau.
Terdahulu, Zarul Ahmad memberitahu dia diperkenalkan kepada Gnanaraja oleh rakannya, Datuk Seri Nazri Aziz selepas beliau menceritakan masalah yang menimpa berkaitan projek terowong dasar laut Pulau Pinang.
Ujar saksi, bekas pemimpin politik itu memberitahu beliau mempunyai kenalan seorang peguam berpangkat Datuk Seri bernama ‘Glen’ (kemudian disahkan sebagai Gnanaraja) yang mempunyai hubungan rapat dengan Najib.
Menjawab soalan Haijan, Zarul Ahmad berkata, dalam pernyataan kepada SPRM beliau langsung tidak menceritakan peranan Gnanaraja sebagai perantara kepada Guan Eng.
Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu sedang dibicarakan atas pertuduhan menerima suapan wang RM3.3 juta sebagai tindakan membantu CZBUCG milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan projek terowong dasar laut dan jalan utama di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di antara bulan Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, KOMTAR.
Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 2 Mei ini. – UTUSAN










