RM174 juta BSH manfaatkan veteran ATM

RM174 juta BSH manfaatkan veteran ATM

MOHAMED Khaled Nordin beramah mesra dengan petugas media pada Majlis Berbuka Puasa Kementerian Pertahanan Bersama Media di Kuala Lumpur, hari ini. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sejumlah RM174 juta disalurkan kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui Bantuan Sara Hidup (BSH).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, peruntukan BSH tersebut meningkat lebih tiga kali ganda dengan bayaran sebanyak RM300 seorang kepada 50,000 penerima.

Katanya, pada tahun 2021 dan 2022, BSH yang disalurkan adalah berjumlah RM58.6 juta dengan bayaran sebanyak RM300 seorang kepada 16,582 penerima.

“Kerajaan Perpaduan juga telah mengambil inisiatif baharu bagi melebarkan kumpulan sasar dengan turut memasukkan penerima dari kalangan veteran tidak berpencen yang berusia 60 tahun ke atas,” katanya pada Majlis Berbuka Puasa Menteri Pertahanan bersama pengamal media, di sini hari ini.

Selain itu, Mohamed Khaled berkata, bagi memastikan agenda kebajikan turut memberi manfaat secara langsung kepada ahli keluarga anggota ATM, kementerian melalui Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) akan menyampaikan Bantuan Kebajikan Anak Kurang Upaya warga ATM sebanyak RM300,000.

“Daripada jumlah ini, sebanyak RM300 diberikan kepada anak-anak kategori OKU daripada warga ATM yang masih bersekolah atau tidak bersekolah dan sebanyak RM500 kepada mereka yang sedang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi awam dan swasta,” katanya.

Beliau berkata, Pharmaniaga Berhad yang merupakan anak syarikat di bawah Kementerian Pertahanan juga menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada pelajar-pelajar Sekolah Tahfiz dan Anak Yatim (STAY) ATM berjumlah RM22,500.

Sementara itu, katanya, sebagai usaha meningkatkan kemahiran dan pendedahan yang diperlukan, kementerian akan melancarkan dua program pendedahan bersama dengan dua anak syarikat Kementerian Pertahanan iaitu Pharmaniaga Berhad dan BHPetrol.

“Pertama, program Pharmagrad dengan kerjasama Pharmaniaga. Program ini merupakan satu bentuk latihan industri yang dikhususkan kepada anak-anak anggota dan veteran ATM,” katanya.

Jelasnya, sebanyak 120 tempat diperuntukkan oleh Pharmaniaga Berhad menerusi Pharmagrad dalam bidang berkaitan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Professional Training and Education for Growing Enterprenuers – Ready To Work (PROTEGE – RTW) dengan kerjasama BHPetrol diperkenal bagi meningkatkan potensi kebolehpasaran graduan dan kemahiran keusahawanan.

“PROTEGE-RTW ini akan melibatkan, antara lain latihan penempatan dan bimbingan bersama syarikat-syarikat yang terlibat dalam tempoh lapan hingga 12 bulan.

“Antara syarikat yang menyertai program ini bersama-sama dengan Pharmaniaga adalah syarikat milik kerajaan (GLC), syarikat-syarikat penerima perolehan kerajaan dan syarikat-syarikat swasta,” katanya.

Jelasnya, BHPetrol memperuntukkan 22 tempat setiap tahun untuk tempoh tiga tahun dengan jumlah keseluruhan sebanyak 66 penempatan berdasarkan kriteria yang telah digariskan mengikut kesesuaian.

“Harapan kita, melalui rangkaian program ini, agenda kebajikan ATM dan keluarga bukan sahaja akan diperkemas. Namun, dipelbagaikan dengan pendekatan yang lebih inovatif dan bersesuaian dengan kumpulan sasar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN