RISDA peruntuk RM15j pulih kebun getah terbiar

RISDA peruntuk RM15 juta pulih kebun getah terbiar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) memperuntukkan RM15 juta bagi melaksanakan pemulihan kebun getah terbiar di seluruh negara tahun ini.

Pengerusinya, Manndzri Nasib berkata, inisiatif pemulihan itu adalah komponen baharu yang diwujudkan bagi memastikan kebun getah milik pekebun kecil yang tidak diusahakan dapat memberikan pulangan pendapatan kepada pemiliknya.

Katanya, RISDA kini giat mengenal pasti lokasi strategik kebun getah terbiar yang dapat dipulihkan dengan segera dan melonjakkan produktiviti getah negara dengan sasaran sebanyak 12,385 hektar pada tahun ini.

“Inisiatif ini adalah salah satu komponen di bawah Model Pengeluaran Getah Negara (Petara) bagi memastikan komuniti pekebun kecil getah yang menyumbang kepada 85.7 peratus pengeluaran berbanding sektor estet sebanyak 14.3 peratus.

“Sehingga April tahun ini, RISDA telah mencapai 47.74 peratus prestasi semasa dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM98.13 juta dalam melaksanakan keseluruhan program pembangunan pekebun kecil getah.

“Ia melibatkan lima komponen utama pembangunan membabitkan Program Pembangunan Kawasan Getah Pekebun Kecil sebanyak RM74.55 juta, Pembangunan Semula Hasil Baharu RM5.7 juta, Peningkatan Produktiviti Getah (PROGET) RM8.82 juta, Peningkatan Produktiviti Lateks (PROTEKS) sebanyak RM172 ribu serta Rawatan dan Pencegahan Luruhan Daun Pestalotiopsis sebanyak RM8.82 juta” katanya dalam satu kenyataan.

Manndzri berkata, RISDA komited dalam memastikan pekebun kecil dapat meningkatkan taraf hidup dengan menawarkan pelbagai bantuan sokongan. 

Katanya, ia menerusi komponen peningkatan ekonomi seperti Program Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET), Program Pembangunan Usahawan dan Program Agromakanan selaras dengan tuntutan dan cabaran semasa.

“RISDA turut membuka peluang kepada semua individu yang memiliki tanah dan berminat menjadi sebahagian daripada warga pekebun kecil getah agar menghubungi agensi berkenaan.

“Mereka yang berminat juga boleh mengunjungi pejabat berhampiran bagi mendapatkan informasi dan maklumat berhubung Program Tanam Semula Getah serta pelbagai bantuan sokongan yang boleh dimanfaatkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN