PETALING JAYA: Restoran makanan 24 jam bukan penyebab utama masalah kesihatan rakyat Malaysia ekoran tabiat makan lewat sehingga menyebabkan masalah berat dan obesiti.
Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, sebaliknya ia dipengaruhi faktor lain seperti amalan gaya hidup sihat individu itu sendiri.
Sebaliknya kata beliau, semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan aktivis pengguna harus realistik dengan memberi perhatian kepada isu penjualan arak secara terbuka dan beroperasi 24 jam kerana lebih berisiko daripada segi keselamatan dan membahayakan orang ramai khususnya di jalan raya.
“(Namun) Presma terbuka untuk menerima sebarang pandangan dan cadangan serta bersedia berbincang di meja rundingan berhubung isu ini demi kepentingan semua pihak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa lesen operasi 24 jam yang diberikan kepada kedai makan dimansuhkan.
Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata kajian menunjukkan terdapat kesan negatif akibat tabiat makan lewat malam seperti berat badan bertambah, gangguan tidur dan masalah penghadaman.
Beliau berkata, pihaknya sekian lama menyeru larangan kedai makan beroperasi 24 jam dengan alasan akses terhad kepada makan lewat malam akan menjadikan rakyat Malaysia lebih sihat.
Menurut Jawahar Ali, pihaknya berpendirian bahawa gesaan dan permintaan itu perlu diperhalusi daripada sudut kesihatan, sosial dan budaya masyarakat Malaysia terutama membabitkan waktu bekerja serta fungsi restoran menyediakan makanan, minuman dan lokasi perbincangan atau pembelajaran.
“Sejak beberapa tahun ini, sudah menjadi budaya rakyat di negara kita menjadikan restoran sebagai pusat sehenti bukan saja untuk makan dan minum, malah dijadikan sebagai lokasi untuk bersosial selepas waktu kerja kerana suasana yang kondusif serta mudah diakses.
“Selain itu ada juga perjumpaan secara berkumpulan serta perbincangan ilmiah dijalankan di restoran tertentu pada waktu tengah malam yang dirasakan lebih sesuai berbanding waktu siang yang padat dengan urusan lain,” katanya.
Oleh yang demikian, Kata Jawahar Ali, gesaan terbabit hanya sesuai dijalankan mengikut keperluan, lokasi, serta gaya hidup masyarakat agar ia dapat memenuhi keperluan semua pihak bukan saja pemilik restoran serta industri yang berkaitan.
“Untuk rekod, PRESMA sendiri pernah menyarankan kepada kerajaan agar mempertimbangkan kebenaran beroperasi 24 jam sebelum ini berdasarkan prestasi perniagaan ahli-ahli di seluruh negara,” katanya. –UTUSAN










